Ramalan pertumbuhan KDNK -5.5% ‘gesa’ potongan OPR | DagangNews Skip to main content

Ramalan pertumbuhan KDNK -5.5% ‘gesa’ potongan OPR

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur dilanjutkan hingga 9 November, Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) dijangka mencatatkan pertumbuhan -3.5% hingga -5.5%.

Situasi ini mungkin menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengurangkan kadar dasar semalam (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) menjelang 3 November depan, kata Standard Chartered.

“Kami kini menjangkakan potongan kadar 25 bps oleh BNM, berbanding ramalan kami sebelum ini (tiada potongan). 

“Sejak pelaksanaan PKPB baru-baru ini, jumlah jangkitan harian meningkat, melebihi paras jangkitan pada gelombang pertama,” kata Standard Chartered dalam nota kajiannya.

Data mobiliti Google menunjukkan impak ke atas aktiviti mencapai paras sama seperti ketika PKPB pada tempoh Mei hingga Jun lalu. 

Di negeri Sabah, aktiviti perlahan ke tahap ketika PKP dari Mac hingga Mei 2020. 

Walaupun kesan aktiviti untuk setiap penurunan peratusan data mobiliti mungkin lebih kecil kali ini, namun ramalan pertumbuhan KDNK 2020 sebanyak -3,5% hingga -5,5% masih berisiko,” tambah Standard Chartered. 

Sementara itu, terdapat kebimbangan terhadap kemampuan pembentangan bajet 2021 pada 6 November depan. 

Walaupun sebelum ini ada sedikit kebimbangan tentang peruntukan bajet setiap tahun, namun konflik politik baru-baru ini telah meningkatkan risiko halangan proses Bajet 2021.

“Bagaimanapun, ia sukar untuk BNM mencegah risiko tersebut dan potongan kadar bergantung kepada kesan PKPB, pada pandangan kami. 

Pemotongan kadar dan proses bajet yang lancar juga tidak akan mencetuskan kebimbangan inflasi jangka masa sederhana,” kata Standard Chartered. - DagangNews.com