Skip to main content

Ramco Systems dilantik mulakan transformasi digital 5 pelabuhan MMC

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 8 April - Konglomerat utiliti dan infrastruktur terkemuka, MMC Corporation Berhad (MMC) mengumumkan permulaan transformasi digital utama ke atas lima pelabuhannya hasil usaha sama syarikat perisian penyelesaian global terkemuka, Ramco Systems.

 

Transformasi digital berkenaan akan menggabung dan menyeragamkan proses melibatkan pelabuhan-pelabuhan di bawah kendalian MMC merangkumi Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd (PTP), Johor Port Berhad, Northport (Malaysia) Bhd, Penang Port Sdn Bhd dan Tanjung Bruas Port Sdn Bhd. 

 

Transformasi di semua kumpulan pelabuhan itu dianugerahkan berdasarkan kepada kejayaan dalam pelaksanaan Sistem Perancangan Sumber Perusahaan (ERP) Ramco di salah sebuah pelabuhan terminal paling maju di Malaysia - PTP. 

 

Pengarah Urusan Kumpulan MMC, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, pandemik COVID-19 telah mendorong beberapa trend menjadi tumpuan, seperti e-dagang untuk mengukuhkan lagi rantaian bekalan dalam memastikan pelabuhan syarikat sentiasa cekap dan mampu melakukan pemulihan dengan cepat.

 

.

 

"Dengan adanya sokongan daripada Ramco Systems, MMC komited untuk terus mempercepatkan transformasi digital ini yang akan meningkatkan kecekapan, produktiviti dan kepercayaan di antara pelabuhan-pelabuhan kami agar perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada semua pelanggan.

 

"Pelaksanaan sistem bersama dan platform teknologi bersepadu ini akan memberikan sinergi maksimum dengan lebih baik dan membolehkan kesemua pelabuhan-pelabuhan kami berkongsi pengalaman dan mendapat faedah.

 

"Kami berhasrat untuk memanfaatkan sebaik mungkin teknologi ini bagi membolehkan kami lebih berdaya saing dan meningkatkan nilai kepada pemegang-pemegang saham kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Program transformasi teknologi berkenaan akan mendorong dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara di barisan hadapan dalam menjadikan pelabuhannya di kedudukan terbaik secara global.

 

Ia memainkan peranan penting dalam menghadapi cabaran pengurangan rantaian bekalan, termasuklah gangguan yang berlaku baru-baru ini disebabkan oleh pandemik COVID-19.

 

Berdasarkan pelaksanaan sebelumnya yang dilaksanakan oleh Ramco Systems melibatkan sistem ERP untuk PTP, 90% daripada sistem tersebut telah mencapai tahap Go-Live secara berperingkat selama tempoh 10 bulan.

 

Ia akan meningkatkan pelancaran proses digitalisasi, di samping memberikan maklumat perniagaan di masa nyata.

 

MMC juga dapat menggabungkan pelbagai fungsi perniagaan sokongan (seperti Kewangan, Sumber Manusia, Pengurusan Aset Perusahaan, Pengurusan Rantaian Bekalan, dan Pengurusan Logistik) di kesemua pelabuhannya menerusi satu sistem ERP bersepadu – yang mana semua ini boleh diakses melalui sistem papan muka bersepadu.

 

Sementara itu, Pengerusi Ramco Group, P.R. Venketrama Raja memberitahu, ia merupakan satu penghormatan untuk bekerjasama dengan Kumpulan MMC dalam membantu menaik taraf sistem di pelabuhan-pelabuhan berkenaan. 

 

"Kerjasama ini merupakan peristiwa penting dalam sejarah Ramco kerana pelaksanaan sistem Ramco akan dapat mengoptimumkan kecekapan operasi di kumpulan MMC, dan seterusnya mencapai ke arah pemulihan yang lebih cepat di pelabuhan-pelabuhan di Malaysia, selain ianya dapat mempengaruhi perdagangan Malaysia.

 

“Kami di Ramco telah mewujudkan dan mengukuhkan jenama di Malaysia melalui hubungan dengan pelbagai syarikat konglomerat besar di negara ini, dan jalinan ini hanya dapat dicapai melalui kerja keras yang berterusan oleh pasukan Ramco dalam memberikan transformasi digital kepada PTP," tambahnya. - DagangNews.com