Ramssol sasar kumpul RM25.1 juta daripada IPO, perkukuh kedudukan di Asia Tenggara | DagangNews Skip to main content

Ramssol sasar kumpul RM25.1 juta daripada IPO, perkukuh kedudukan di Asia Tenggara

Ketua Pegawai Eksekutif Ramssol Group Berhad, Cllement Tan (tengah) pada majlis pelancaran prospektus syarikat sempena penyenaraian di ACE Market, Bursa Malaysia hari ini.

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Jun - Ramssol Group Berhad menyasarkan untuk mengumpul modal sebanyak RM25.1 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) menerusi penyenaraian di ACE Market pada 13 Julai ini bagi tujuan pengembangan perniagaan syarikat.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Cllement Tan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM2.5 juta akan digunakan untuk meneroka pasaran di Filipina sekali gus mengukuhkan kedudukannya di rantau ini.

 

Katanya, sebanyak RM6.3 juta pula diperuntukkan bagi mengembangkan aplikasi Feet's dan juga platform kerjasama pihak ketiga, Lark di rantau Asia Tenggara.

 

"Sebahagian lagi iaitu RM4.1 juta akan digunakan untuk perbelanjaan bagi aktiviti pembangunan dan penyelidikan (R&D), modal kerja (RM7.6 juta) dan perbelanjaan penyenaraian (RM4.6 juta)," katanya dalam sidang akhbar secara maya.

 

 

Baca : Ramssol Group-Kenanga Investment sign IPO underwriting agreement

 

 

Ramssol hari ini melancarkan prospektus syarikat sempena penyenaraiannya di ACE Market, Bursa Malaysia Securities Berhad. 

 

Kenanga Investment Bank Berhad (KIBB) adalah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO berkenaan.

 

Syarikat penyedia perkhidmatan teknologi dan penyelesaian sumber manusia itu disenaraikan dengan harga IPO  45 sen dengan 78,064,000 juta saham. 

 

Ia juga yang terdiri daripada terbitan awam berjumlah 55.76 juta saham baharu yang diperuntukkan sebanyak 11.2 juta saham untuk orang awam, diikuti 5.6 juta saham untuk pengarah, pekerja dan sekutu perniagaan dan anak syarikat Ramssol yang layak.

 

Sejumlah 38.96 juta saham turut diperuntukkan untuk penempatan persendirian bagi pelabur terpilih dan tawaran untuk penjualan 22.3 juta saham sedia ada melalui penempatan swasta kepada pelabur terpilih.

 

Selain Malaysia, Ramssol juga beroperasi di Singapura, Thailand, Vietnam dan Indonesia.

 

Mengulas mengenai langkah pengembangan ke Filipina, Cllement berkata, syarikat melihat terdapat permintaan bagi pendigitalan sumber manusia di rantau Asia Tenggara dan ia mendorong syarikat untuk berkembang di negara tersebut.

 

Katanya, syarikat juga telah membina jaringan kerjasama di Filipina dan berbincang dengan beberapa penyedia perisian untuk meneroka peluang pernigaan dan memahami dengan mendalam dinamik pasaran.

 

"Ini akan mengukuhkan kedudukan kami sebagai peneraju penyelesaian pengurusan sumber manusia dan kepakaran teknologi memandangkan kami sudah memasuki pasaran utama di rantau ini," katanya. - DagangNews.com