Ranhill terima kelulusan Bandung untuk bina loji rawatan air | DagangNews Skip to main content

Ranhill terima kelulusan Bandung untuk bina loji rawatan air


KUALA LUMPUR 29 Julai – Ranhill Utilities Bhd telah menerima surat kelulusan daripada datuk bandar Bandung atas cadangannya untuk membina, mengendali dan memindahkan loji rawatan air di bandar tersebut.

Bagaimanapun, cadangan itu perlu melalui proses perundingan dengan agensi-agensi kerajaan Indonesia yang berkaitan.

``Ranhill akan melaksanakan perjanjian projek dengan pihak-pihak berkaitan sejurus rundingan dimuktamadkan,’’ kata syarikat itu dalam laporannya kepada Bursa Malaysia.
 

ranhill


Kumpulan itu berhasrat melakukan aktiviti operasi dan penyenggaraan bagi loji rawatan 30 juta liter air sehari bagi tempoh 30 tahun, dengan tarif air ditetapkan pada 3,200 rupiah per kubik meter.

Menurut Ranhill, projek berkenaan tidak mempunyai sebarang kesan material terhadap perolehannya, aset bersih dan gearing bagi tahun kewangan semasa berakhir 31 Disember 2020.

Ketika pasaran saham tamat semalam, saham Ranhill ditutup 5.5 sen atau 6.18% lebih tinggi pada 94.5 sen, membawa modal pasaran syarikat berjumlah RM1.01 bilion. Kira-kira 3.78 juta saham diniagakan. – DagangNews.com