Rantaian bekalan aeroangkasa ambil masa lama untuk pulih | DagangNews Skip to main content

Rantaian bekalan aeroangkasa ambil masa lama untuk pulih

Gambar hiasan

 

KUALA LUMPUR 21 Mei - Firma antarabangsa, Moody’s Investors Service tidak menolak kemungkinan pemulihan rantaian bekalan industri aeroangkasa mungkin mengambil masa yang lama untuk pulih.

 

Ini mungkin memakan tempoh bertahun-tahun dan mengikut syarikat, jelas firma itu menurut laporan Bernama. 

 

“Kami percaya metrik kredit untuk rantaian bekalan yang lebih luas mencecah paras rendah pada awal 2021 berikutan syarikat menghadapi impak dari segi kewangan daripada kelembapan berikutan COVID-19 yang bermula pada akhir suku pertama 2020. 

 

“Pada separuh pertama 2021, kami menjangka kebanyakan pembekal akan mempunyai fleksibiliti kewangan yang terhad dengan metrik hutang/pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai, pelunasan melebihi paras sebelum ini,” jelas laporan itu. 

 

Berdasarkan penilaian firma itu, hutang rantaian bekalan aeroangkasa komersial merangkumi kira-kira AS$50 bilion hutang dari segi jumlah keseluruhannya.

 

Malah, landasan ke arah pemulihan dalam rantaian bekalan industri itu akan berbeza.

 

Firma itu memberi contoh bagi pembekal individu, tahap dan kadar pemulihan bergantung kepada beberapa faktor, termasuk tahap pendedahan kepada aeroangkasa komersial, jenis produk yang dikeluarkan oleh pembekal dan pendedahan pembekal kepada pelbagai jenis pesawat.

 

Moody’s Investors Service menjangka peningkatan perjalanan udara akan bermula pada separuh kedua 2021, meningkat hingga 2022.

 

Bagaimanapun, pemulihan kualiti kredit untuk rantaian bekalan aeroangkasa akan melewatkan peningkatan perjalanan udara, berikutan sifat jangka panjangnya yang berteraskan modal dan pembuatan. 

 

Firma itu menjangka kebanyakan pembekal akan menjana aliran tunai bebas yang terhad berikutan pendapatan terus rendah dalam masa terdekat, bagi tahun ini hingga separuh pertama 2022. - DagangNews.com