Rantaian bekalan jadi antara ancaman pertumbuhan tahun ini - Kaji selidik KPMG | DagangNews Skip to main content

Rantaian bekalan jadi antara ancaman pertumbuhan tahun ini - Kaji selidik KPMG

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Sept. - Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di rantau Asia Pasifik yakin terhadap pemulihan ekonomi berbanding tahun lalu, tetapi meletakkan risiko rantaian bekalan sebagai antara ancaman utama pertumbuhan tahun ini.

 

Hasil kaji selidik Tinjauan CEO KPMG 2021 yang dijalankan KMPG International itu mendapati 66% daripada hampir 500 CEO di rantau tersebut menyatakan tekanan mereka terhadap rantaian bekalan semakin meningkat sejak 18 bulan lalu.

 

Selain isu berkenaan, mereka juga menyatakan 2 lagi ancaman utama terhadap pertumbuhan termasuklah risiko keselamatan siber dan gangguan teknologi.

 

Tinjauan itu dijalankan terhadap lebih daripada 1,300 CEO di peringkat global untuk melihat strategi dan prospek mereka dalam tempoh 3 tahun.

 

Rakan Kongsi Pengurusan KPMG di Malaysia, Datuk Johan Idris berkata, risiko terhadap rantaian bekalan terus mendapat perhatian berikutan meningkatnya ketidaktentuan daripada ketegangan perdagangan dan peristiwa yang disebabkan perubahan iklim ketika sebelum pandemik tetapi masih dilihat sebagai keutamaan rendah bagi CEO.

 

"Bagaimanapun, pandemik ini telah meningkatkan fokus kepada isu ini memandangkan organisasi bergelut untuk mengekalkan kesinambungan rantaian bekalan ketika seluruh dunia berdepan sekatan pergerakan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

CEO di Asia Pasifik percaya adalah penting untuk membina rantaian bekalan yang kukuh dengan 36% menyatakan untuk memantau dengan teliti rantaian bekalan mereka supaya dapat menangani sebarang masalah dengan lebih baik. 

 

Sebanyak 34% pula akan mempelbagaikan sumber input dengan menambah lokasi baharu bagi memastikan rantaian bekalan mereka semakin kukuh. 

 

Sementara itu, 14% pula akan menyusun semula rantaian bekalan mereka untuk memberi ketahanan yang lebih baik dan akses yang lebih konsisten bagi mencapai objektif pertumbuhan.

 

Antara hasil kajian itu juga menunjukkan 70% daripada CEO menyatakan terdapat permintaan dari pihak berkepentingan untuk lebih telus mengenai alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) terutamanya dari pelabur institusi (57%) dan pengawal selia (31%).

 

Di samping itu, didapati 81% percaya bahawa rangsangan kerajaan diperlukan jika semua perniagaan mahu mencapai sifar bersih.

 

Bagaimanapun, hanya 18% CEO merancang untuk melaksanakan pengecilan organisasi atau sudah sudah pun mengurangkan kehadiran fizikal organisasi manakala 34% akan melihat pelaksanaan model hibrid bagi pekerja yang mana mereka akan bekerja dari jauh antara 2 hingga 3 hari seminggu. 

 

Sementara itu, 68% CEO mahu membuat pelaburan lebih banyak untuk membeli teknologi baharu selain ingin membangunkan kemampuan sumber manusia dengan 49% bercadang untuk melabur dalam latihan digital, pembangunan dan peningkatan kemahiran bagi memastikan kemahiran pekerja kekal berfokus terhadap masa depan. - DagangNews.com