Razer Merchant Services terima Anugerah Pemeroleh FPX Bukan Bank Terbaik kali kedua berturut-turut | DagangNews Skip to main content

Razer Merchant Services terima Anugerah Pemeroleh FPX Bukan Bank Terbaik kali kedua berturut-turut

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Mei - Razer Merchant Services (RMS) telah diiktiraf sebagai Pemeroleh FPX Bukan Bank Terbaik untuk kategori Pertumbuhan Penerimaan e-Pembayaran di Anugerah Kecemerlangan e-Pembayaran Malaysia (MEEA) 2022 anjuran Payments Network Malaysia (PayNet Malaysia).

 

Anugerah tahunan anjuran PayNet Malaysia adalah untuk memberi penghormatan kepada bank, peserta bukan bank, perniagaan dan agensi kerajaan atas usaha dan sumbangan mereka kepada agenda tanpa tunai negara.

 

Anugerah itu adalah tambahan kepada jumlah pembayaran (TPV) Razer Fintech sebanyak AS$7 bilion (RM30.72 bilion) melalui sistemnya pada FY21 yang mewakili pertumbuhan 63.5% didorong oleh pembelian pasaran e-dagang, penghantaran makanan dan tambah nilai e-dompet . 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Razer Fintech, Lee Li Meng berkata, pihaknya berterima kasih kepada PayNet kerana memberikan anugerah itu buat kali kedua berturut-turut dan ia adalah bukti pihaknya dalam menyediakan perkhidmatan pembayaran yang terbaik.

 

"RMS akan terus berkembang dan melabur dalam keupayaan kami untuk berkembang di seluruh rantau Asia Tenggara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Pengarah Perkhidmatan Pembayaran Runcit PayNet, Khairuan Abdul Rahman mengucapkan tahniah kepada RMS kerana sekali lagi dinobatkan sebagai penerima anugerah itu dan mereka telah menunjukkan komitmen dalam mengembangkan perkhidmatan bayaran tanpa tunai. 

 

razer

 

"Kami percaya anugerah ini akan menjadi inspirasi kepada RMS akan menggalakkan lebih banyak perniagaan untuk menerima pakai ePayments dan mengubah Malaysia menjadi masyarakat tanpa tunai," katanya. - DagangNews.com