Rebat elektrik untuk 6 sektor ekonomi dibiayai kerajaan - TNB | DagangNews Skip to main content

Rebat elektrik untuk 6 sektor ekonomi dibiayai kerajaan - TNB

 

 


KUALA LUMPUR 19 Jan. - Rebat elektrik yang diumumkan semalam melibatkan 6 sektor perniagaan yang terjejas akibat COVID-19 akan dibiayai oleh kerajaan, jelas Tenaga Nasional Berhad (TNB). 

 

Syarikat utiliti itu berkata, ia termasuklah sumbangan daripada dana industri elektrik, lapor The Edge hari ini. 

 

Katanya, pengumuman bagi Pelepasan Kos Bahan Api Tidak Seimbang (ICPT) dengan rebat 2 sen per kilowat jam (kWh) kepada semua pelanggan termasuk pelanggan domestik dengan penggunaan 300kWh dan ke bawah juga akan dibiayai oleh kerajaan dengan cara yang sama. 

 

"Impak daripada diskaun dan rebat ini adalah neutral kepada TNB memandangkan perolehan TNB tidak terkesan. 

 

"Dalam masa sama, ia juga tidak menjejaskan operasi perniagaan TNB dan juga kedudukan kewangan," katanya dalam kenyataan kepada portal berita berbahasa Inggeris itu. 

 

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej Permai bernilai RM15 bilion bagi membantu rakyat menghadapi perintah kawalan pergerakan (PKP) ketika ini. 

 

Antara manfaat yang diumumkan termasuklah pemberian diskaun khas bil elektrik kepada 6 sektor perniagaan di seluruh negara 10% bagi tempoh Januari hingga Mac 2021.

 

Sektor tersebut meliputi pengendali hotel, taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat syarikat penerbangan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan.

 

Di samping itu, rebat elektrik diberikan kepada semua pengguna TNB, domestik dan bukan domestik, pada kadar 2 sen setiap kilowatt per jam. - DagangNews.com