REDtone berpotensi menang kontrak Jendela RM4.6 bilion, projek 5G Ericsson - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

REDtone berpotensi menang kontrak Jendela RM4.6 bilion, projek 5G Ericsson - Penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Penyedia perkhidmatan dan pengurusan rangkaian telekomunikasi, REDtone Digital Berhad dilihat berpotensi untuk memenangi kontrak Fasa 1 Jalinan Digital Negara (Jendela) yang bernilai RM4.6 bilion. 

 

Ini berdasarkan prestasi REDtone yang sebelum ini berjaya meraih sekitar 25% hingga 70% daripada kontrak kerajaan berskala besar, menurut penganalisis di Kenanga Research, Lim Khai Xhiang. 

 

Katanya, walaupun berdasarkan data sebelum ini, margin kasar kumpulan adalah sekitar 40%, namun setiap projek berskala besar kemungkinan akan membawa margin kasar yang lebih rendah, berpotensi sekitar 20%.

 

Walau bagaimanapun, saiz projek berskala besar tetap akan membawa peningkatan perolehan sesaham (EPS) terhadap kumpulan, ujar Khai Xhiang. 

 

“Model kami menunjukkan sekiranya REDtone memenangi 10%/25%/50%/70% daripada kontrak yang bernilai RM4.6 bilion itu, ini boleh meningkatkan EPS kumpulan sebanyak 22%/56%/112%/157% daripada keuntungan bersih utama untuk tahun kewangan 2021 (FY21), dengan jangkaan sebarang peningkatan hasil diluaskan kepada lima tahun,” ujar beliau dalam satu nota penyelidikan, hari ini. 

 

Sebagai rekod, Fasa 1 Jendela akan dibahagikan kepada dua bahagian, di mana pembiayaan RM4.6 bilion itu diagihkan, masing-masing sebanyak 30% dan 70%. 

 

Pengumuman pemberian tender bagi kontrak yang melibatkan pengambilalihan tapak dan pemasangan menara itu, dijangka diumumkan dalam tempoh empat minggu lagi. 

 

REDtone bukan sahaja berpotensi memenangi kontrak itu, malah dalam jangkaan Khai Xhiang, kumpulan dalam kedudukan baik untuk meraih kerja-kerja kejuruteraan dan penyelenggaran bagi pelancaran 5G, di mana telah diberi tugas kepada Ericsson oleh Digital Nasional Berhad (DNB). 

 

Kata beliau, REDtone difahamkan sedang berbincang dengan Ericsson bagi projek tersebut dan sebagai rekod, kedua-duanya sebelum ini telah bekerjasama untuk pelancaran rangkaian 4G.

 

Baca : Kerajaan pilih Ericsson bangunkan 5G dengan kos RM11 bilion

 

“Oleh itu, kami tidak akan terkejut sekiranya REDtone memenangi projek pelancaran rangkaian 5G daripada Ericsson. Pihak pengurusannya juga mendedahkan bahawa mereka mempunyai sumber dalaman cukup untuk memenuhi keperluan kerja berkaitan Jendela dan 5G,” tambah beliau.

 

Potensi REDtone dalam memenangi tender Jendela akan menyuntik pembelian saham kumpulan, sekali gus Kenanga meletakkan saranan ‘trading buy’ dengan nilai wajaran pada kadar 61 sen sesaham.

 

Ketika laporan ditulis, harga saham REDtone menokok 0.5 sen kepada 49.5 sen. - DagangNews.com