Rekod prestasi lemah penguatkuasa Malaysia sukar laksanakan undang-undang larangan merokok | DagangNews Skip to main content

Rekod prestasi lemah penguatkuasa Malaysia sukar laksanakan undang-undang larangan merokok

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Feb - Rekod prestasi lemah Malaysia dalam menguatkuasakan undang-undang larangan merokok dan vape adalah berpunca daripada kekurangan motivasi dalam kalangan kakitangan agensi penguatkuasa, menurut badan pemikir Arunachala. 

 

Selain itu, ia turut berpunca daripada kekurangan tenaga manusia dan sumber, ketiadaan latihan teratur, struktur remunerasi serta sokongan lemah antara kementerian dan antara agensi.

 

Konsultan Prinsipal Arunachala Research & Consultancy Sdn. Bhd., R. Paneir Selvam berkata, kerajaan Malaysia pada masa ini tidak mampu menguatkuasakan undang-undang yang melarang orang daripada merokok di tempat awam atau kawasan yang diwarta sebagai `zon larangan merokok’. 

 

“Orang masih 'berasap' di tempat yang sepatutnya tidak boleh, kerana tahu kemungkinan sebarang tindakan terhadap mereka adalah rendah atau tidak ada sama sekali. Ya, ada sekali-sekala pihak berkuasa memeriksa dan menyaman pesalah, tetapi hal ini jarang-jarang berlaku," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Paneir berkata, kelemahan pihak berkuasa menangani perdagangan rokok seludup juga merupakan halangan besar dalam melaksanakan larangan menyeluruh kepada rokok untuk generasi akan datang. 

 

Menurutnya, beberapa undang-undang dan peraturan yang sudah wujud untuk digunakan bagi membanteras sindiket jenayah daripada melakukan aktiviti penyeludupan. 

 

"Malah, kerajaan boleh mengguna pakai undang-undang lebih keras seperti pengubahan wang haram (AMLA), Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan  Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA). bagi menangani jenayah terancang bernilai berbilion ringgit ini.

 

“Hari ini disebabkan lemahnya penguatkuasaan, perdagangan rokok seludup kekal menjadi punca hasil kerajaan merosot, mengakibatkan kerosakan sosio-ekonomi tidak terkira di dalam masyarakat kita," katanya.

 

 

rokok
R. Paneir Selvam

 

 

Beliau berkata, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yakin Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh melaksanakan pelbagai langkah bagi menguatkuasakan undang-undang larangan itu di negara ini. 

 

"Sejarah menunjukkan kakitangan penguatkuasa, sindiket jenayah, malah orang awam akan bersengkongkol untuk mencipta lorong bagi mengelak langkah-langkah tersebut, akhirnya bertentangan daripada matlamat KKM untuk mewujudkan masyarakat lebih sihat," katanya.

 

Paneir mencadangkan supaya kerajaan tidak mempertimbangkan undang-undang larangan seumpamanya buat masa sekarang, sebaliknya memberi fokus dan menumpukan sumber-sumber dalam menguatkuasakan undang-undang sedia ada secara menyeluruh memusnahkan dagangan rokok seludup.  

 

“Menerusi sistem remunerasi, latihan dan sumber-sumber lebih baik, kami yakin penguatkuasa undang-undang boleh mengurangkan rakyat Malaysia merokok di tempat tidak dibenarkan dan menjadikan ia lebih sulit bagi perokok membeli rokok seludup murah yang dijual tanpa mematuhi sebarang bentuk peraturan.

 

"Penguatkuasaan undang-undang sedia ada yang diperkuatkan adalah memadai untuk menurunkan kecenderungan merokok di Malaysia secara signifikan tanpa membebankan penguatkuasa undang-undang dan sistem keadilan dengan larangan merokok," katanya. - DagangNews.com