‘Rekrut’ pemegang saham baharu Terminal Perintis, beban kerugian Tiong Nam dijangka berkurang  | DagangNews Skip to main content

‘Rekrut’ pemegang saham baharu Terminal Perintis, beban kerugian Tiong Nam dijangka berkurang 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Julai - Langkah syarikat pengangkutan dan logistik, Tiong Nam Logistics Holdings Berhad untuk menurunkan pemegangan sahamnya dalam Terminal Perintis Sdn Bhd (TPSB) daripada 100% kepada 49% dapat mengurangkan beban kerugian segmen hospitaliti kumpulan pada masa akan datang. 

 

Penganalisis di TA Securities, Tan Kam Meng berkata, segmen perniagaan hospitaliti Tiong Nam telah mencatatkan kerugian sebelum cukai untuk 10 suku tahun berturut-turut sejak suku ketiga tahun kewangan 2019 (3QFY19) berjumlah RM43.5 juta. 

 

“Kami positif terhadap perjanjian tersebut yang akan memberi manfaat kepada Tiong Nam dalam tiga cara. Pertama, pembelian saham itu akan mengurangkan kerugian pada masa akan datang daripada hotel yang mencatatkan kerugian, di mana telah mengheret turun keuntungan kumpulan.

 

“Kedua, ia akan menambah baik kualiti kunci kira-kiranya. Menurut pengumuman itu, pembelian tersebut akan meningkatkan proforma penggearan bersih FY21 kepada 0.98x daripada 1.26x. 

 

“Yang terakhir, Tiong Nam akan mengumpul semula pinjaman pemegang saham berjumlah RM52.9 juta daripada Terminal Perintis, yang kemudiannya akan disalurkan kepada bahagian logistik dan pergudangan untuk melonjakkan pertumbuhan perolehan masa depannya,” jelas Kam Meng dalam satu nota kajian.

 

Tiong Nam dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia pada 22 Julai lalu telah memeterai Perjanjian Pemegang Saham dengan Create Fortune Enterprise (CFE) di mana menyaksikan pembelian 5.2 juta saham baharu Terminal Perintis, mewakili tambahan 51% terbitan jumlah saham kepada CFE pada nilai RM36.7 juta. 

 

Langkah tersebut akan membawa kepada kecairan kepentingan Tiong Nam dalam Terminal Perintis daripada 100% kepada 49%. 

 

Selain itu, perjanjian tersebut juga memberi hak kepada CFE untuk membeli baki 49% kepentingan daripada Tiong Nam pada bila-bila masa dalam tempoh lima tahun dari tarikh siap.

 

Sebagai rekod, Terminal Perintis dibangunkan untuk memiliki dan mengendalikan Fraser Place Puteri Harbour (Fraser Place) di Johor Bahru. 

 

Berdasarkan akaun FY21 yang telah diaudit, Terminal Perintis mencatatkan kerugian selepas cukai bernilai RM22.3 juta dan aset boleh dipegang berjumlah RM35.3 juta setakat Mac 2021.

 

TA Securities mengekalkan saranan ‘beli’ saham Tiong Nam dengan harga sasaran (TP) ditingkatkan kepada RM1.22. 

 

Senada itu, MIDF Research turut mengekalkan saranan ‘beli’ saham Tiong Nam dengan TP ditingkatkan kepada RM1.05. 

 

“Kami kekal optimis terhadap potensi jangka panjang Tiong Nam sebagai salah satu pemain industri logistik terbesar di Malaysia dengan kehadirannya di peringkat serantau yang lebih baik berbanding pesaingnya. 

 

“Kami melihat transaksi ini baik yang dicerminkan di dalam unjuran prestasi masa hadapannya. Kami menyemak semula unjuran perolehan pada FY22 kepada RM22.2 juta daripada RM5.2 juta,” jelas MIDF - DagangNews.com