Rentas negeri dibenarkan hanya bermula Oktober depan? | DagangNews Skip to main content

Rentas negeri dibenarkan hanya bermula Oktober depan?

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 April - Sekatan rentas negeri yang kini dikuatkuasakan di seluruh negara dijangka ditarik semula dalam tempoh Oktober hingga Disember 2021. 

 

Itu ramalan yang dibuat oleh penganalisis TA Securities, Tan Kam Meng ketika membuat unjuran pertumbuhan jumlah pergerakan penumpang perjalanan udara yang dijangka mengukuh pada suku keempat 2021 (4Q21).

 

“Berdasarkan hubung kait berkenaan (kes dan vaksinasi COVID-19 di Amerika Syarikat), kami yakin kes COVID-19 di Malaysia akan juga menyusut sebanyak 80% apabila sebanyak 36% daripada penduduk menerima dos pertama vaksin. 

 

“Namun, berhubung dengan kepantasan vaksinasi, Kementerian Kesihatan menyasarkan 70% hingga 80% rakyat untuk mendaftar bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), tetapi hanya 8.69 juta atau 35.8% daripada penduduk telah mendaftar setakat 14 April 2021. 

 

“Kami percaya rakyat ketika ini sedang mengambil pendekatan tunggu dan lihat, dan akan hadir ke pusat vaksinasi apabila melihat kelebihan perlindungan dengan kesan sampingan yang rendah di Malaysia serta seluruh dunia,” jelas Kam Meng dalam sebuah nota kajian hari ini.

 

Baca : Malaysia berdepan risiko pemulihan ekonomi perlahan

 

Pada bulan lalu, jumlah pergerakan penumpang bagi perjalanan udara menguncup sebanyak 82.1%, disebabkan oleh kelemahan dalam sektor antarabangsa dan domestik. 

 

Kam Meng tidak melihat itu sesuatu di luar jangkaan memandangkan sekatan perjalanan rentas negeri masih lagi dilaksanakan dan sempadan negara kekal tutup.

 

“Bagi 1Q21, jumlah pergerakan penumpang Malaysia jatuh 91.0% kepada 1.7 juta, terutamanya disebabkan oleh penutupan sempadan dan perintah kawalan pergerakan. 

 

“Bagaimanapaun, kami melihat ini sejajar dengan unjuran pertumbuhan sepanjang tahun kami iaitu 27.5%, memandangkan pertumbuhan dijangka kembali normal bermula April 2021 dan ke atas selepas 12 bulan penutupan sempadan. 

 

“Dalam masa sama, kami menjangkakan pertumbuhan 4Q21 akan menjadi lebih kukuh memandangkan sekatan perjalanan rentas negeri dijangka ditarik semula,” tambah beliau.

 

Bagi prospek pemain industri, Kam Meng menyarankan untuk ‘beli’ saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dengan harga sasaran (TP) pada kadar RM7.40. - DagangNews.com