Reservoir Link dilantik kontraktor panel Petronas | DagangNews Skip to main content

Reservoir Link dilantik kontraktor panel Petronas

Gambar www.reservoirlink.com

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 April - Reservoir Link Sdn. Bhd (RLSB), anak syarikat kepada Reservoir Link Energy Berhad (RLEB) telah dilantik sebagai kontraktor panel Petroliam Nasional Berhad (Petronas). 

 

Pelantikan itu akan berkuatkuasa selama tempoh lima tahun dari tarikh surat lantikan (LOA) iaitu 11 Disember 2020 sehingga 10 Disember 2025, kecuali ditamatkan mengikut syarat-syarat pelantikan, menurut RLEB dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

“Pelantikan adalah untuk penyediaan melengkapkan teknologi baharu dan / atau replikasi teknologi baharu yang akan memberikan satu faedah atau beberapa kombinasi pada pengoptimuman operasi, prestasi takungan dan jaminan integriti yang baik,” jelas RLEB.

 

Tambah syarikat itu, pelantikan berkenaan juga tertakluk kepada langkah pembidaan mini yang akan dilaksanakan oleh Kontraktor Pengaturan Petroleum (PAC).

 

Harga bagi prestasi kerja-kerja itu bergantung kepada langkah pembidaan tersebut.

 

“Pelantikan ini tidak akan memberi impak ke atas modal saham dan struktur pemegangan saham syarikat. 

 

“Namun, pelantikan ini dijangka menyumbang secara positif terhadap perolehan RLSB dan syarikat semasa tempoh pelantikan itu, sekiranya RLSB berjaya dalam langkah pembidaan mini,” tambah RLEB.

 

Ketika laporan ditulis, nilai sesaham RLEB berada pada kadar RM0.81. - DagangNews.com