Skip to main content

Restoran KFC, Pizza Hut kini sajikan Coca-Cola, tiada lagi Pepsi

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Coca-Cola Malaysia dan QSR Brands (M) Holdings Bhd iaitu pemilik francais dan pengendali restoran KFC dan Pizza Hut mengumumkan perjanjian perkongsian di mana Coca-Cola kini menjadi pembekal minuman bagi restoran KFC dan Pizza Hut di Malaysia.

 

"Mulai Ogos 2022, Coca-Cola Malaysia merupakan pembekal minuman KFC dan Pizza Hut yang menyajikan pelbagai minuman Coca-Cola yang menyegarkan di restoran KFC dan Pizza Hut terpilih.

 

"Kesemua 1,180+ restoran KFC dan Pizza Hut di seluruh negara dijangka beralih sepenuhnya kepada menyediakan produk Coca-Cola menjelang awal September," kata Coca-Cola Malaysia dan QSR dalam satu kenyataan bersama.

 

Sebelum perkongsian Coca-Cola Malaysia-QSR, restoran KFC dan Pizza Hut di Malaysia menyajikan minuman berjenama Pepsi kepada pelanggan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan QSR, Nehchal Khanna berkata, kumpulan itu komited untuk meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan, inovasi dan kepuasan pelanggan.

 

“Sejak dua tahun kebelakangan ini, kami telah dapat berkembang walaupun menghadapi cabaran semasa dengan menginovasi semua bidang perniagaan dan akan terus berbuat demikian.

 

“Kami percaya perkongsian ini akan meluaskan lagi capaian kami dan kami berharap dapat menggembirakan lagi pelanggan kami,” katanya.

 

Pengarah francais Coca-Cola Malaysia, Amruta Vaidya berkata Coca-Cola, KFC, dan Pizza Hut percaya kepada falsafah yang sama untuk menjadikan makanan lebih menyeronokkan untuk rakyat Malaysia.

 

“Di Coca-Cola, falsafah kami sebagai jenama dan sebagai sebuah syarikat sentiasa menjadi sebahagian daripada dan meraikan saat-saat apabila rakan-rakan dan keluarga berkumpul sambil menjamu selera dan minuman sejuk ais Coca-Cola atau mana-mana juadah kami yang lazat dan minuman yang menyegarkan,” kata Vaidya.

 

qsr

 

Produk popular, Coca-Cola Zero Sugar, yang akan tersedia secara meluas di kedai KFC dan Pizza Hut, adalah sebahagian daripada portfolio diperakui Simbol Pilihan Lebih Sihat Coca-Cola Malaysia yang sedang berkembang.

 

Coca-Cola Malaysia kekal komited untuk menyokong usaha mengurangkan pengambilan gula dalam kalangan rakyat Malaysia sambil menyampaikan minuman yang lazat yang disukai orang ramai. - DagangNews.com