RHB Research naikkan harga sasaran Gabungan AQRS kepada 55 sen dengan saranan 'beli'  | DagangNews Skip to main content

RHB Research naikkan harga sasaran Gabungan AQRS kepada 55 sen dengan saranan 'beli' 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 12 Ogos - RHB Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Gabungan AQRS Bhd. dengan harga sasaran dinaikkan kepada 55 sen daripada 54 sen sesaham sebelum ini. 

 

Firma itu kekal positif dengan prospek kumpulan terutama intensiti projek pembinaan dan jualan tidak dibil yang tinggi akan menyokong pendapatan kumpulan pada masa hadapan.

 

Katanya, walaupun kumpulan menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja, tetapi situasi itu belum lagi mencapai tahap menghalang kemajuan pembinaan di tapak projek, memandangkan kemasukan pekerja asing menerusi subkontraktor akan dilaksanakan beberapa bulan akan datang. 

 

"Pada masa sama, Gabungan AQRS memiliki nilai projek pembinaan berjumlah RM1.1 bilion, yang akan memberi pendapatan dalam tempoh 3 tahun.

 

"Nisbah penggearannya juga lebih rendah pada 0.3 kali setakat akhir suku pertama 2022, membolehkannya memperoleh kerja-kerja berskala besar terutamanya dalam infrastruktur.

 

"Dengan itu, kami tidak menolak kemungkinan pendedahannya terhadap tahap 2 projek MRT3, memandangkan rekodnya dalam projek LRT3," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Cabang pembangunan hartanahnya turut merekodkan jualan yang baik mencecah RM22.6 juta bagi tempoh 1 April hingga 12 Jun 2022 berbanding RM15.6 juta pada suku pertama. 

 

Projek pembangunan E'Island Lake Haven di Putra Perdana, Selangor menyaksikan kadar pengambilan sehingga 77% (setakat 12 Jun 2022) daripada 69% (pada akhir Disember 2021). 

 

Bagi projek-projek lain seperti di The Peak, Johor, kadar pengambilan mencecah 41% dan akan terus meningkat apabila pembinaan Sistem Transit Pantas Singapura-Johor Bahru (RTS Link) berjalan lancar, dengan tarikh permulaan disasarkan pada 1 Januari 2027.

 

Mengambil kira faktor-faktor berkenaan, RHB Research menjangkakan keuntungan bersih teras Gabungan AQRS pada suku kedua berkembang lebih RM5 juta.

 

"Pada suku kedua 2021, kumpulan merekodkan untung bersih teras sebanyak RM3.6 juta dipacu kemajuan kerja-kerja pembinaan yang lebih tinggi berbanding pemberhentian keseluruhan aktiviti pada suku kedua 2020 disebabkan pandemik COVID-19," katanya. 

 

Setakat 10.52 pagi ini, harga saham Gabungan AQRS kekal tidak berubah pada 33 sen sesaham. - DagangNews.com