Skip to main content

RHB Research semak turun harga sasaran KLK kepada RM26.30 dengan saranan 'beli'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 24 Jun - Kuala Lumpur Kepong Bhd. (KLK) dijangka mampu mencapai pertumbuhan pengeluaran buah tandan segar sebanyak 20% bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2022 (FY22) meskipun berdepan masalah kekurangan tenaga buruh. 

 

RHB Research berkata, kemasukan kumpulan pertama pekerja asing dalam tempoh 6 hingga 8 minggu lagi dilihat akan membantu KLK mencapai sasaran ditetapkan. 

 

Menurutnya, kira-kira 60% daripada pengeluaran KLK di Malaysia sudah dijual 3 bulan ke hadapan, manakala di Indonesia kebanyakannya habis dijual. 

 

"Di Indonesia, ia menghadapi masalah mencari mekanisme yang betul untuk menjual minyak sawitnya di dalam negara bagi mendapatkan permit eksport.

 

"Bagaimanapun, dengan peraturan baharu yang mana syarikat perladangan boleh membayar tambahan cukai sebanyak AS$200 satu tan metrik untuk mendapatkan pengecualian obligasi pasaran domestik (DMO), KLK telah berjaya mendapatkan permit eksport untuk kira-kira sebulan setakat ini," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Secara keseluruhan, RHB Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap KLK dengan harga sasaran lebih rendah pada RM26.30 daripada RM34.15 sesaham sebelum ini. 

 

Di sebalik persekitaran harga minyak sawit mentah yang lebih rendah ketika ini, penilaian KLK kekal tidak menarik.

 

Oleh itu, ia menyemak turun unjuran hasil bagi FY22 hingga FY23 antara 1 hingga 7%, tetapi menaikkan anggaran bagi FY24 sebanyak 14%.

 

"Semakan ini dibuat selepas mengambil kira kapasiti hiliran baharu menerusi operasi di Indonesia, klasifikasi hasil penapisan dan kilang sarung tangan getah nitril yang baharu," jelasnya.

 

Menurutnya, kompleks integrasi baharu KLK di Indonesia bernilai RM700 juta akan beroperasi secara berperingkat-peringkat dengan kilang penapisan sehingga akhir 2022, manakala yang lain-lain pada awal 2023. 

 

Pada suku pertama 2022, KLK mengklasifikasikan semula penapisannya ke bahagian hiliran (daripada segmen perladangan), menyebabkan margin hiliran meningkat kepada 7.8% (daripada 5.2% pada suku pertama) pada suku kedua.

 

"Sementara itu, fasa pertama pertama kilang sarung tangan getah akan siap menjelang akhir tahun ini, dengan kapasiti 2 bilion setahun. 

 

"Namun, kadar penggunaan masih rendah memandangkan KLK ketika ini hanya menjual sarung tangan getah dalam kuantiti yang kecil kepada pelanggan," katanya.

 

Setakat 11.34 pagi ini, harga saham KLK susut 20 sen atau 0.88% kepada RM22.64 dengan 237,400 saham diniagakan. - DagangNews.com