RichWorks bakal kongsi kepakaran bimbing lebih 30 juta usahawan di Indonesia | DagangNews Skip to main content

RichWorks bakal kongsi kepakaran bimbing lebih 30 juta usahawan di Indonesia

Datuk Wira Dr Azizan Osman (duduk, tiga dari kanan) ketika mengadakan pertemuan dengan Menteri Ekonomi Kreatif dan Pelancongan Indonesia, Sandiaga Uno di Jakarta hari ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

JAKARTA 2 Jun - RichWorks International Sdn Bhd (RichWorks) mengorak langkah ke hadapan dalam melihat kolaborasi bersama Kementerian Ekonomi Kreatif dan Pelancongan Indonesia untuk membantu lebih 30 juta WiraUsahawan di negara tersebut. 

 

Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr Azizan Osman berkata, perbincangan tersebut diadakan bersama menterinya, Sandiaga Uno yang dilihat berjalan lancar di republik itu, pagi tadi.

 

"Alhamdulillah, pertemuan yang cukup bermakna meskipun waktu padat disebabkan esok program RichWorks sudah pun bermula yang bakal dihadiri sekitar 10,000 bangsa usahawan di Setia City Convention Centre (SCCC). 

 

"Mudah-mudahan usaha kami ini, dapat berhasil untuk membantu mengurangkan kadar kemiskinan dan meningkatkan taraf ekonomi masyarakat keseluruhannya di Indonesia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Turut hadir Pengarah Eksekutif RichWorks, Hasnita Ahmad; Ketua Pegawai Perniagaan, Radz Mohd; Timbalan Pengerusi Ekonomi Digital dan Produk-Produk-Produk Kreatif Indonesia, Muhammad Neil El Himam dan Penolong Timbalan Pengurusan Strategi Kementerian Pelancongan, Dr. Frans Teguh.

 

Program 10x Bina Bisnes Berjaya: Bangkit Bisnes Dari Krisis yang ditaja RichWorks sepenuhnya akan memulakan pendaftarannya esok serta berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini. 

 

Tambah Azizan, RichWorks sejak 2008 telah melatih dan membimbing sekitar 1.5 juta usahawan hingga melahirkan banyak testimoni kejayaan dan transformasi bisnes termasuk melahirkan usahawan jutawan. 

 

 

richworks
Datuk Wira Dr Azizan Osman (kanan) berswafoto bersama Menteri Ekonomi Kreatif dan Pelancongan Indonesia, Sandiaga Uno ketika mengadakan perbincangan untuk berkongsi kepakaran membimbing lebih 30 juta Wirausahawan di Indonesia.

 

 

richworks

 

 

"Anak didik kami bukan sahaja dalam negara, malah ada saja dari negara jiran, Indonesia, Singapura dan Brunei. 

 

"Bahkan pada tahun lalu, dalam program mentoring kami menghasilkan jualan keseluruhan sebanyak RM3.7 bilion meskipun semasa pandemik," jelasnya. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: 50 usahawan Indonesia sertai program sulung Richworks September ini

 

Dalam pada itu, Radz memberitahu, langkah itu merupakan salah satu perancangan RichWorks dalam memperluaskan khidmat kepada lebih ramai usahawan bukan saja di dalam negara.

 

"Aspirasi dan perjuangan RichWorks selari dengan Azizan untuk membantu dan melihat kebangkitan usahawan terutama beragama Islam lebih berdaya saing, maju dan lestari di seluruh dunia khususnya di rantau Asia dengan keadaan yang penuh mencabar ini," jelasnya. - DagangNews.com