Richworks bekerjasama dengan AeU sediakan pengajian eksekutif untuk usahawan | DagangNews Skip to main content

Richworks bekerjasama dengan AeU sediakan pengajian eksekutif untuk usahawan

Datuk Wira Dr Azizan Osman berucap pada majlis memeterai MoU antara RichWorks International dan Asia e Learning di Asia e University (AeU) pada 28 April 2022.
Oleh Mohamad Iman

SUBANG JAYA 29 April - RichWorks International Sdn. Bhd. menjalin kerjasama dengan Asia e Learning di Asia e University (AeU) bagi memberikan lagi nilai tambah kepada usahawan-usahawan dan organisasi perniagaan dengan penawaran program pengajian eksekutif.

 

Pengerusi dan Pengasasnya Datuk Wira Dr Azizan Osman berkata, syarikat sejak 2008 telah pun berjaya membimbing dan membina ramai usahawan jutawan malah kakitangan mereka dalam membina bisnes yang berjaya hingga kebanyakan sudah dikenali di negara ini.

 

Bagaimanapun jelasnya, pihaknya melihat ada keperluan usahawan ini untuk didedahkan dengan pendidikan akademik untuk melengkapkan diri mereka ke tahap lebih tinggi. 

 

"Sebab itu, kami mahu membina usahawan-usahawan ini dan menyokong perkembangan organisasi mereka lagi melalui kolaborasi seperti yang ditandatangani ini.

 

“Bangsa usahawan di bawah bimbingan RichWorks akan mempunyai peluang mendapatkan pengiktirafan akademik untuk merealisasikan impian mereka di samping menyediakan ke ‘game’ perniagaan lebih tinggi,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara RichWorks International dan Asia e Learning di Asia e University (AeU) yang diwakili Dr Azizan Osman dan Presiden Pengasas AeU, Dato Dr Ansary Ahmed.


 

richworks

 


MoU ini dalam tempoh setahun menyasarkan sebagai pemangkin ke arah potensi Perjanjian Kolaborasi Pendidikan antara kedua-dua pihak.

 

Tambah Azizan, MoU yang ditandatangani itu dilihat penting dalam usaha RichWorks menyediakan peluang pembelajaran sepanjang hayat khusus bagi pendidikan eksekutif terutama kepada pemilik dan pengurusan sesebuah perniagaan.

 

Dalam masa sama, Azizan memberitahu, pihaknya juga terbuka untuk berkolaborasi dengan mana-mana institusi pendidikan dan agensi kerajaan yang berminat dalam usaha kami untuk menyokong malah transformasi bangsa usahawan agar terus melonjak ke tahap seterusnya.

 

“Kepakaran kami dalam transformasi bangsa usahawan telah menyaksikan banyak proses metamorfosis berlaku kepada bangsa usahawan dalam pelbagai industri yang dibimbing RichWorks.

 

"Hal ini turut dibuktikan pada tahun lalu, nilai jualan di bawah bimbingan permentoran RichWorks berjumlah RM3.7 bilion meskipun ketika berdepan cabaran pandemik," ujarnya. - DagangNews.com