RichWorks jalin kerjasama dengan 37 usahawan anjur program Wanita Bangkit Berniaga | DagangNews Skip to main content

RichWorks jalin kerjasama dengan 37 usahawan anjur program Wanita Bangkit Berniaga

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Okt. -   RichWorks International menandatangani kerjasama dengan 37 usahawan jutawan bagi penganjuran program Wanita Bangkit Berniaga yang akan diadakan pada 27 November depan . 

 

Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks International), Radz Mohd berkata, program yang bertemakan Tangan Yang Menghayun Buaian Boleh Menggoncang Dunia itu bermatlamat untuk meningkatkan pendapatan bulanan isi rumah dan memperkasa wanita melalui peningkatan pengetahuan dan kemahiran.

 

"Kami menyasarkan seramai 20,000 peserta wanita akan menyertai sesi webinar selama tujuh jam setiap hari untuk tiga hari secara percuma.

 

"Sesi pembelajaran akan bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang dan secara keseluruhan peserta akan terlibat dalam enam sesi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Majlis Pelancaran Program Wanita Bangkit Berniaga telah dirasmikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun di Ibu Pejabat Noir Health & Beauty di sini, hari ini.

 

Tambah Radz, program Wanita Bangkit Berniaga akan berkongsi teknik dan strategi betul, bagaimana mereka boleh membina bisnes yang berjaya di samping mentor
secara berterusan.

 

“Kami di RichWorks International mahu memberi peluang kepada wanita untuk mengenal pasti dan memaksimumkan potensi diri untuk menaik taraf hidup dalam

keadaan ekonomi yang mencabar kini terutama selepas ditekan pasca Covid-19.

 

Beliau berkata, antara usahawan jutawan yang akan tampil memberi perkongsian dalam program Wanita Bangkit Berniaga ialah Pengasas Sabella, Siti Fatimah Abdul Samad dan suami, Nuraini Zolkepeli (Nurraysa), Kartika Wati Mohamad (Eksayvie), Eriyca Baiduri Abdul Rashid atau dikenali sebagai Madammu (Noir) dan ramai lagi.

 

Dalam pada itu Rina berkata, kementeriannya berhasrat menjalin kerjasama dengan RichWorks International berikutan program-program latihan dan bimbingan yang dikendalikan terbukti berhasil.

“Syarikat RichWorks International yang saya kenali ini, merupakan institusi yang membimbing dan melatih usahawan terbesar di Malaysia. Khususnya dari segi penjenamaan, pemasaran dan kepimpinan," katanya. -DagangNews.com