Skip to main content

Ringgit dibuka rendah pagi ini

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Ringgit dibuka rendah dalam dagangan pagi ini pada RM4.0530/0620 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

 

Semalam, mata wang tempatan itu ditutup pada RM4.0510/0550.

 

AmBank Research menjangkakan ringgit diniagakan pada paras sokongan antara RM4.0433 dan RM4.0488 manakala paras rintangan antara RM4.0583 dan RM4.0645. 

 

"Dalam penutupan semalam, ringgit susut 0.16% setelah 3 hari mencatat kenaikan. Setakat ini, ringgit sudah mengukuh 1.1% berbanding dolar AS," katanya dalam nota kajian hari ini.  

 

Menurut firma penyelidikan itu, dolar AS juga hilang momentum, susut 0.29% kepada 90.711 ekoran laporan mengenai penguatkuasaan semula sekatan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19. 

 

Keadaan ini katanya, sekali gus membayangi perkembangan positif mengenai pelancaran vaksin di AS manakala penggubal dasar masih terus berunding mengenai rangsangan fiskal. 

 

Bagi pasaran minyak pula, Brent menokok 0.64% kepada AS$50.29 setong, paras tertinggi dalam tempoh 9 bulan manakala West Texas Intermediate (WTI) melonjak 0.9% kepada AS$46.99 setong disokong oleh keyakinan terhadap permintaan bahan api apabila vaksin mula dilancarkan. 

 

"Antara faktor lain, pengeluar minyak bersekutu Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC+) telah menangguhkan mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Bersama dan Jawatankuasa Pemantauan Menteri sehingga 3 dan 4 Januari depan. 

 

"Ini dengan mengambil kira permintaan minyak mentah global akan kembali pulih secara perlahan pada 2021 berbanding sebelumnya disebabkan kesan pandemik COVID-19," katanya. - DagangNews.com