Ringgit kembali mengukuh berbanding dolar AS | DagangNews Skip to main content

Ringgit kembali mengukuh berbanding dolar AS

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 19 Jan. - Ringgit kembali mengukuh dalam dagangan pagi ini, dibuka pada RM4.0450/0490 berbanding dolar AS.

 

HLIB Research berkata, pasaran kini tertumpu kepada keputusan Mesyuarat Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) esok yang akan menentukan sama ada kadar dasar semalaman (OPR) dikurangkan atau tidak. 

 

Bagaimanapun, firma itu menjangkakan BNM akan mengekalkan OPR pada kadar semasa, 1.75%. 

 

"Tetapi dalam masa sama, kami tidak menolak kemungkinan, dasar itu akan diselaraskan dengan ketat mengambil kira kebimbangan terhadap situasi ekonomi ketika ini," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam penutupan semalam, ringgit ditutup pada RM4.0500/0540 selepas pasaran menerima isyarat bahawa bakal setiausaha Perbendaharaan AS, Janet Yellen akan memberi sokongan padunya bagi dolar AS yang lebih kukuh.

 

Menurutnya, penyusutan ringgit berbanding dolar AS berlaku di tengah-tengah pengukuhan mata wang utama itu, hampir tidak memberi sebarang tindak balas terhadap pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

 

"Kami mengekalkan pandangan neutral terhadap dolar AS/ringgit terutama disokong oleh sentimen positif dalam pakej rangsangan AS menjelang pelantikan Joe Biden sebagai presiden AS," katanya. - DagangNews.com