Ringgit lemah tidak seharusnya terlalu dibimbangi kerana Malaysia negara pengeksport bersih – Pakar Ekonomi | DagangNews Skip to main content

Ringgit lemah tidak seharusnya terlalu dibimbangi kerana Malaysia negara pengeksport bersih – Pakar Ekonomi

Pada 9 pagi, ringgit telah menyusut kepada 4.3995/4020 berbanding dolar AS daripada 4.3960/3975 pada penutup pada 28 Jun 2022.
Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH

KUALA LUMPUR 29 Jun – Kelemahan ringgit tidak seharusnya terlalu dibimbangi kerana Malaysia adalah negara pengeksport bersih justeru kita mempunyai lebihan rizab, kata Profesor Emeritus, Sekolah Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Dr. Barjoyai Bardai.

 

Malah, katanya, kedudukan ringgit sebenarnya adalah semakin stabil.

 

“Ringgit dilihat lemah pada masa kini hanya kerana dolar AS mengukuh tetapi pengukuhan dolar AS itu bukan mempamerkan prestasi sebenarnya.

 

“Pengukuhan dolar AS itu sengaja diada-adakan kerana  Rizab Persekutuan AS (Fed AS) mengumumkan bahawa mereka akan menaikkan kadar faedahnya enam kali dalam dua tahun akan datang, Dr. Barjoyai yang juga ahli ekonomi, memberitahu DagangNews.com di sini hari ini.

 

Pasaran kewangan dunia sedang bersiap sedia untuk kenaikan kadar faedah AS yang paling mendadak dalam hampir 30 tahun, apabila bank pusat Amerika itu mengambil tindakan untuk membendung kenaikan kadar inflasi.

 

Kadar inflasi di AS meningkat 8.5% pada bulan Mac.

 

Dr Barjoyai berkongsi pandangannya mengenai kelemahan nilai ringgit, yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pihak tertentu yang mendakwa ia menyebabkan peningkatan kadar inflasi di negara ini.

 

Katanya, tidak perlu kita terlalu bimbang kerana ekonomi masih utuh.


 

Dr. Barjoyai Bardai
Dr. Barjoyai Bardai

 


Hari ini, mata wang tempatan dibuka rendah sedikit berbanding dolar AS berikutan penurunan dalam ekuiti penanda aras AS semalaman.

 

Pada 9 pagi, ringgit telah menyusut kepada 4.3995/4020 berbanding dolar AS daripada 4.3960/3975 pada penutup pada Selasa.

 

Beliau berkata Fed berhasrat untuk menaikkan kadar faedah 50 mata asas setiap satu, yang bermaksud 0.5 peratus setiap tahun dan itu merupakan lonjakan besar dalam Kadar Pinjaman Asas (BLR) .

 

“Begitu ramai pelabur akan beralih ke pelaburan pendapatan tetap di AS dan oleh itu mereka telah meningkatkan permintaan mereka terhadap dolar AS.

 

“Dan akibatnya, dolar AS telah meningkat tetapi kenaikan itu adalah perkara sementara,” jelas Dr Barjoyai.

 

Beliau berkata, AS bijak, mereka menyebarkannya (kenaikan dolar) selama bertahun-tahun, jadi kita akan melihat bahawa dolar AS seolah-olah mendapat kekuatan tetapi sebenarnya dolar AS semakin lemah berbanding ruble Rusia.

 

Ruble kini 100 peratus disokong oleh emas berbanding kepada dolar AS yang tidak disokong oleh apa-apa.


 

BNM

 


Menyentuh mengenai langkah Bank Negara Malaysia baru-baru ini untuk meningkatkan kadar dasar semalaman (OPR) – pelaksanaan itu tidak dirancang.

 

"Tetapi mereka berbuat demikian hanya untuk menunjukkan kebimbangan mengenai kenaikan inflasi ini," katanya.

 

Menurut Dr Barjoyai, “Kadar inflasi kita sebenarnya stabil kira-kira 2.2 hingga 2.3 peratus.

 

“Kebimbangan kami tidak terlalu mementingkan inflasi; kebimbangan kita adalah mengenai kos sara hidup. Kos sara hidup sebenarnya adalah perkara yang berasingan daripada inflasi,” katanya.

 

Dr Barjoyai berkata kos sara hidup sebenarnya meningkat kerana harga makanan meningkat.

 

Dr Barjoyai berkata, makanan itu adalah kira-kira 5% daripada perbelanjaan pengguna. Jadi, pada asasnya dalam paradigma ekonomi biasa, bank pusat harus meningkatkan BLR apabila terdapat proses pemulihan daripada kemelesetan.

 

“Dan itulah sebenarnya, apa yang kami (BNM) lakukan.

 

“Kos sara hidup khususnya di Malaysia sejak kebelakangan ini telah meningkat berikutan peningkatan kadar kos makan di luar rumah seperti makan di restoran makanan segera, gerai Mamak atau restoran,” jelasnya.

 

Jika kita bandingkan. Katakan anda beli ayam sekilogram anda boleh bahagi lima tetapi jika anda beli di kedai, RM8 ringgit seketul, jadi sebenarnya harganya akan naik lima kali ganda,” tambahnya. DagangNew.com