Ringgit menyusut sedikit berbanding dolar AS | DagangNews Skip to main content

Ringgit menyusut sedikit berbanding dolar AS

 

 


KUALA LUMPUR 22 Jan. - Ringgit menyusut sedikit dalam dagangan pagi ini dibuka pada RM4.0300/0350 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

 

HLIB Research berkata, bagaimanapun pengukuhan mata wang itu dijangka berterusan terutama selepas kelemahan dolar AS semalaman. 

 

Katanya, keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan kadar dasar semalaman dan pendirian dasar yang neutral juga memberi kelebihan kepada ringgit. 

 

"Tetapi dalam tempoh jangka masa pendek, kami beralih daripada neutral kepada penurunan harga bagi ringgit/dolar AS selepas dasar BNM terhenti seketika dan pada masa sama, mengharapkan keyakinan terhadap pakej rangsangan AS apabila Joe Biden memulakan tugasnya sebagai Presiden," katanya dalam nota kajian. 

 

Semalam, ringgit ditutup lebih tinggi untuk hari ketiga berturut-turut, didagangkan pada kedudukan yang lebih baik selepas BNM terus mengekalkan OPR pada 1.75% dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang pertama tahun ini.

 

Ini menyaksikan ringgit melepasi paras RM4.03 dan ditutup pada RM4.0280/ 0320 berbanding dolar AS. 

 

Sementara itu, AmBank Research menjangkakan ringgit diniagakan hari ini pada paras sokongan antara RM4.0119 dan RM4.0221 manakala paras rintangan antara RM4.0381 dan RM4.0473. - DagangNews.com