Risen Energy melabur RM42.2 bilion, wujud 3,000 peluang pekerjaan - PM | DagangNews Skip to main content

Risen Energy melabur RM42.2 bilion, wujud 3,000 peluang pekerjaan - PM

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengadakan mesyuarat secara maya dengan Pengerusi dan Presiden Risen Energy Co. Ltd., Xie Jian. pagi tadi. 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Jun - Risen Energy Co. Ltd., syarikat pengeluar kelima terbesar dunia bagi penghasilan solar modul melabur sebanyak RM42.2 bilion di Malaysia bagi tempoh lima tahun mulai 2021 hingga 2025. 

 

Pelaburan berimpak tinggi ini dijangka mewujudkan 3,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dalam tempoh berkenaan.

 

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui laman Facebooknya setelah selesai mengadakan mesyuarat secara maya dengan Pengerusi dan Presiden Risen Energy, Xie Jian.

 

Mesyuarat ini turut disertai Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Arham Abdul Rahman. 

 

Berpangkalan di China, syarikat ini melalui Risen Solar Technology Sdn. Bhd. mendapat kelulusan Lesen Pengilang dan Galakan Insentif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bagi aktiviti reka bentuk, pembangunan dan pengilangan sel solar dan solar modul.

 

Menurut Muhyiddin, selain peluang pekerjaan, syarikat itu juga akan menjalin kerjasama dengan universiti dan institusi tempatan dalam menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), termasuk pengambilan pelajar secara latihan industri.

 

"Saya yakin kehadiran Risen Solar ini akan menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran berintegrasi bagi produk solar. 

 

"Ketika ini terdapat beberapa syarikat pengeluar global solar seperti Jinko Solar, Longi Solar, JA Solar, Hanwha Q Cell, First Solar dan Sun Power sedang beroperasi di Malaysia," jelas beliau.

 

Pada mesyuarat itu, Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa kerajaan Malaysia mengamalkan prinsip mesra pelaburan dan sentiasa mengalu-alukan kemasukan pelaburan baharu dan berkualiti ke negara ini dengan pelbagai galakan dan insentif disediakan kepada pelabur dan bakal pelabur.

 

"Malah, saya juga menegaskan akan memastikan pelaksanaan projek yang telah dirancang oleh syarikat tersebut berjalan dengan lancar," tambahnya. 

 

Beliau menyifatkan pelaburan daripada syarikat Risen Energy ini merupakan satu kejayaan besar buat negara, sekali gus membuktikan keupayaan pengurusan ekonomi Malaysia pada ketika dunia sedang bergelut dengan cabaran pandemik COVID-19. 

 

"Alhamdulillah, trend kemasukan berterusan pelaburan asing berimpak tinggi ini tentunya menyuntik lebih keyakinan dalam kalangan komuniti pelabur luar terhadap prospek pemulihan ekonomi Malaysia selari dengan aspirasi Pelan Pemulihan Negara. 

 

"Ini pastinya akan membawa manfaat besar kepada masyarakat dari segi peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan," katanya. - DagangNews.com