Risiko SWN 5G, CGS-CIMB semak turun penarafan Maxis kepada 'kurang' dengan TP RM3.80 | DagangNews Skip to main content

Risiko SWN 5G, CGS-CIMB semak turun penarafan Maxis kepada 'kurang' dengan TP RM3.80

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 26 Jan - CGS-CIMB menyemak turun penarafan Maxis Bhd. kepada 'kurang' berbanding 'pegang' dengan harga sasaran (TP) juga direndahkan kepada RM3.80 daripada RM4.70 sebelum ini.

 

Ini berikutan ketidaktentuan pelaksanaan konsep rangkaian tunggal 5G atau Rangkaian Borong Tunggal (SWN) yang setakat ini belum lagi diputuskan kerajaan, boleh memberi kesan kepada prospek kumpulan. 

 

Menurut firma itu, semakan semula TP itu mengambil kira potensi risiko kepada pendapatan ekoran pelan SWN kerajaan, yang mana kesannya mungkin agak ketara jika dilaksanakan. 

 

"Pemangkin penarafan semula pula bergantung kepada perancangan kerajaan untuk meneruskan pelan SWN berdasarkan harga komersial semasa," katanya dalam nota kajian semalam. 

 

Disember lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, Kabinet akan membuat keputusan muktamad mengenai model borong tunggal bagi pelancaran rangkaian 5G menjelang Januari 2022 selepas menerima maklum balas daripada syarikat telekomunikasi dan peserta industri.

 

Kabinet masih dalam perbincangan sama ada akan melaksanakan 5G melalui SWN atau mempunyai beberapa sistem bagi membolehkan persaingan.

 

Secara dasarnya, Digital Nasional Bhd. (DNB) ditubuhkan oleh kerajaan pada Februari 2021 untuk membina dan menguruskan rangkaian 5G.

 

CGS-CIMB berkata, sekiranya kerajaan meneruskan pelan untuk mempercepatkan pelancaran SWN menerusi DNB, ia menganggarkan Maxis mungkin dikenakan bayaran yuran borong minimum yang besar sebanyak RM303 juta, RM403 juta, RM432 juta dan RM432 juta masing-masing bagi tahun kewangan 2023 (FY23), FY24, FY25 dan FY26 berdasarkan tawaran komersial dan garis masa pelancaran DNB. 

 

Malah, katanya, anggaran itu akan terus meningkat kepada RM577 juta hingga RM1.5 bilion setahun pada FY27 hingga FY31 dipacu pertumbuhan jumlah trafik. 

 

"Sekiranya senario ini menjadi kenyataan, pendapatan sesaham (EPS) teras Maxis mungkin lebih rendah sebanyak 3.6% dan lebih tinggi antara 15 hingga 33.4% bagi FY23 hingga FY31. 

 

"Tetapi, jika kerajaan membatalkan pelan SWN ini, Maxis akan terlepas daripada impak keuntungan bersih teras daripada bayaran yuran borong 5G yang tinggi kepada DNB mulai FY23 dan seterusnya," jelasnya. 

 

Menurut firma itu, pengendali rangkaian mudah alih (MNO) mungkin tidak mampu menjana lebih hasil daripada 5G dalam tempoh terdekat dan sederhana. 

 

Keadaan ini disebabkan liputannya yang masih terhad dalam tempoh beberapa tahun pertama manakala kadar penembusan peranti 5G pula mengambil masa tertentu untuk meningkat. 

 

Katanya, apabila liputan DNB 5G melebihi 90% menjelang 2027, ia akan menyaksikan MNO yang lebih kecil (Webe, Yes) mampu bersaing dengan lebih efektif berbanding 4 MNO terbesar (Celcom, Digi, Maxis, Umobile) dari segi pengalaman rangkaian dan turut menawarkan kuota pelan 5G yang lebih besar pada harga rendah. 

 

"Oleh itu, Maxis mungkin perlu menaikkan pelan kuotanya, sekali gus menjejaskan keupayaan untuk menjana kewangan daripada pertumbuhan trafik 5G. 

 

"Dalam situasi terburuk, jika purata hasil bagi setiap pengguna (ARPU) campuran jatuh menurun sebanyak 10% dalam tempoh 2028 hingga 2031, ia akan terus mengurangkan lagi EPS teras Maxis bagi FY29 hingga FY31 di bawah senario SWN sebanyak 8.2 hingga 31.6%," kata firma tersebut. 

 

Setakat 9.33 pagi ini, harga saham Maxis menokok 1 sen atau 0.23% kepada RM4.30 dengan 18,100 saham diniagakan. - DagangNews.com