Rizab antarabangsa BNM setakat 29 Julai 2022 naik kepada AS$109.2 bilion | DagangNews Skip to main content

Rizab antarabangsa BNM setakat 29 Julai 2022 naik kepada AS$109.2 bilion

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) naik kepada AS$109.2 bilion setakat 29 Julai 2022 daripada AS$107 bilion dicatatkan pada 15 Julai 2022.

 

"Kedudukan rizab itu adalah memadai bagi membiayai 5.8 bulan import barangan dan perkhidmatan serta 1.1 kali jumlah hutang luar negara jangka pendek," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut BNM, komponen utama rizab antarabangsa ialah rizab mata wang asing (AS$97.2 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) (AS$1.3 bilion), Hak Pengeluaran Khas (SDR) (AS$5.7 bilion), emas (AS$2.3 bilion) dan aset rizab lain (AS$2.7 bilion).

 

Aset itu merangkumi emas, pertukaran mata wang asing dan dan rizab-rizab lain termasuk SDR (RM480.77 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM12.12 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM23.61 bilion), tanah dan bangunan (RM4.14 bilion) dan aset lain (RM29 bilion).

 

Sementara itu, modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM168.57 bilion), mata wang dalam edaran (RM157.55 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM161.52 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM10.88 bilion), deposit lain (RM11.98 bilion), kertas Bank Negara (RM6.92 bilion), peruntukan SDR (RM28.25 bilion) dan liabiliti-liabiliti lain (RM3.48 bilion). -DagangNews.com