Skip to main content

Rizab BNM rendah berbanding pasaran sedang membangun lain - AMRO

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Mei - Walaupun rizab Bank Negara Malaysia (BNM) dilaporkan mencukupi dari segi standard metrik antarabangsa, namun ia rendah berbanding pasaran sedang membangun lain ekoran sektor kewangan negara yang lebih terbuka dan membangun. 

 

Oleh itu, firma penyelidikan, ASEAN+3 Macroeconomic Research Office (AMRO) melihat pentingnya bank pusat berkenaan = terus meningkatkan rizab antarabangsa di samping mengekalkan sistem kadar pertukaran yang fleksibel bagi mengukuhkan penimbal.

 

“Dalam hal ini, wajar untuk BNM terus mengumpulkan rizab semasa tempoh aliran masuk modal yang kukuh untuk meningkatkan tampungannya daripada liabiliti luaran. 

 

“Mengehadkan jumlah agregat bagi potensi pengurangan bersih rizab BNM (penukaran asing dan deposit dolar Amerika Syarikat) dalam jangka masa pendek juga akan menjadi langkah bijak untuk mengekalkan keyakinan pasaran. 

 

“Dalam masa sama, fleksibiliti dalam kadar pertukaran juga perlu terus bertindak sebagai penimbal utama menghalang impak luaran,” jelas firma penyelidikan itu dalam laporan Annual Consultation Report on Malaysia yang dikeluarkannya hari ini. 

 

Baca : BNM bidas tanggapan rizab antarabangsa Malaysia terlalu rendah

 

Bagi AMRO, rizab BNM terutamanya lebih rendah dari segi perbandingan hutang luaran jangka pendek, di mana ambang kecukupan adalah 100%, dan berbanding bekalan wang secara meluas, di mana ambangnya adalah 20%. 

 

Namun, dari aspek positif, AMRO berkata, kedudukan Malaysia agak lebih baik berbanding pasaran setaranya dari segi metrik lain seperti bulan import dan secara berasingan, liabiliti akaun semasa yang mencerminkan sektor perdagangan luar Malaysia lebih besar.

 

Dalam perkembangan lain, AMRO berpendapat dasar monetari negara perlu kekal dilonggarkan ekoran prospek pertumbuhan yang tidak menentu. 

 

“Jangkaan kami untuk pemulihan ekonomi yang bermula pada suku kedua 2021 (2Q21) juga menjamin kenaikan kadar dasar sederhana sebanyak 50 mata asas (bps) bermula pada separuh akhir tahun 2021 hingga 2022, seperti yang disarankan oleh model Taylor Rule.

 

“Bagaimanapun, memandangkan terdapatnya ketidaktentuan yang tinggi dalam prospek ekonomi serta ruang yang ada bagi dasar monetari, adalah wajar untuk kelonggaran dasar dikekalkan bagi memastikan keadaan monetari terus menyokong sekiranya aktiviti ekonomi lemah,” tambah AMRO. 

 

Dalam tempoh tujuh bulan pertama 2020, BNM telah menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 125 bps kepada 1.75%, iaitu paras terendah dalam sejarah. 

 

Pemotongan kadar faedah yang berterusan itu dibantu oleh penurunan inflasi dan juga kelonggaran keadaan pembiayaan global. - DagangNews.com