RM100 juta untuk lahirkan tenaga kerja digital menerusi MYWiT | DagangNews Skip to main content

RM100 juta untuk lahirkan tenaga kerja digital menerusi MYWiT

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 April - Sebanyak RM100 juta diperuntukkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk merancakkan sektor perkhidmatan digital perniagaan serta melahirkan tenaga kerja teknologi berkualiti di Malaysia. 

 

Inisiatif itu dilaksanakan menerusi program pengambilan pekerja dan latihan, 'MyDigitalWorkforce Work In Tech' (MYWiT) yang merupakan kesinambungan Gerakan #MyDigitalWorkforce bertujuan melatih semula dan meningkatkan kemahiran rakyat bagi memenuhi keperluan pekerjaan dalam ekonomi digital. 

 

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan sedar akan cabaran akibat daripada pandemik dan pelancaran inisiatif itu merupakan bukti terhadap usaha berterusan untuk mengekalkan industri teknologi serta bakal melonjakkan keupayaan dan kapasiti.

 

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah

 

“Dengan kerjasama MDEC, kami akan terus menerajui ekonomi digital ke hadapan dan memacu pencapaian seperti yang dinyatakan dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital (MyDigital), sekaligus membawa kemakmuran bersama," kata Saifuddin yang kenyataannya dipetik oleh MDEC hari ini. 

 

Inisiatif yang dilancarkan hari ini dijangka memanfaatkan lebih daripada 300 syarikat dalam sektor teknologi dan sebanyak 6,000 peluang pekerjaan akan diwujudkan dengan sasaran bagi menghasilkan 1,000 tenaga kerja teknologi berkualiti tinggi. 

 

Ini adalah selaras dengan objektif di dalam MyDigital yang menyasarkan penghasilan 500,000 pekerjaan untuk rakyat Malaysia menjelang 2025, jelas MDEC.

 

Sementara itu, Pengerusi MDEC, Datuk Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff menjelaskan penggunaan digital dan teknologi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) adalah penting kepada perniagaan dan tenaga kerja Malaysia. 

 

“Menerusi inisiatif ini, MDEC akan meneruskan mandat untuk membawa inovasi dan kemajuan kepada alam pekerjaan dan perniagaan dalam menyokong matlamat MyDigital. 

 

Rais Hussin Mohamed Ariff
Rais Hussin Mohamed Ariff

 

“Meningkatkan kemahiran digital rakyat Malaysia menerusi insentif seperti MYWiT dapat mengurangkan pengangguran dan sekaligus menyumbang kepada kemajuan negara dalam menuju Malaysia 5.0,” katanya menerusi kenyataan sama.

 

MYWiT terdiri daripada dua komponen iaitu Perkhidmatan Digital Perniagaan (DBS) dan Perantis Teknologi Digital (DTA). 

 

DBS bermatlamat untuk memberi insentif kepada syarikat yang ingin menggaji graduan baharu atau rakyat Malaysia yang tidak bekerja untuk jawatan perkhidmatan digital perniagaan di organisasi mereka dengan menawarkan insentif minimum di antara RM9,800 dan RM20,600 bagi setiap pekerja. 

 

Insentif itu akan dibahagi kepada dua bahagian iaitu gaji yang akan meliputi 40% daripada gaji pekerja untuk enam bulan (gaji minimum sebanyak RM2,000) dan insentif latihan sebanyak RM5,000. 

 

DTA  pula menyasarkan syarikat yang ingin menggajikan rakyat Malaysia yang tidak mempunyai pekerjaan bagi memenuhi permintaan tinggi dalam sektor teknologi seperti Sains Data, Pembangunan Perisian dan Keselamatan Siber dengan menawarkan pakej insentif sebanyak RM15,200 bagi setiap pekerja.

 

Ini termasuk insentif gaji RM1,200 setiap bulan bagi tempoh enam bulan dan latihan sebanyak RM8,000 bagi setiap pekerja,

 

Majikan dijangka membayar gaji minimum RM3,000 mulai bulan keempat program. 

 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri mendedahkan agensi itu sering memantau dan mengikuti perkembangan semasa mengenai kemahiran yang diperlukan dalam alam pekerjaan sekarang. 

 

“Menerusi analisis kami melalui portal mencari pekerjaan seperti Linkedin, Jobstreet, Monster, Indeed dan Jobstore menunjukkan permintaan tinggi untuk jawatan berasaskan digital. 

 

Surina Shukri
Surina Shukri

 

“Sebanyak 47,000 pekerjaan berasaskan teknologi diiklankan dalam kesemua portal tersebut sehingga Februari 2021. MDEC bermatlamat untuk memberi insentif kepada syarikat-syarikat teknologi dalam menggaji, meningkatkan kemahiran dan mengimbangi tenaga kerja Malaysia yang terkesan secara langsung akibat pandemik COVID -19. 

 

“Di peringkat asas, program ini dijangka memacu perjalanan Malaysia dalam menuju masyarakat digital menerusi penciptaan peluang dalam sektor digital untuk rakyat, perniagaan dan ekonomi secara keseluruhannya, sejajar dengan objektif MyDigital,” katanya lagi.

 

Syarat kelayakan untuk insentif DBS dan DTA termasuklah syarikat harus diperbadankan di Malaysia dan komited dalam menyediakan pekerjaan bagi tempoh minimum 12 bulan.

 

Kuota maksimum pengambilan pekerja adalah 500 orang untuk DBS dan 50 orang untuk DTA. 

 

Selain itu, individu yang ingin mendapat manfaat daripada MYWiT, mestilah rakyat Malaysia dan tidak pernah menerima manfaat daripada mana-mana program insentif MYWiT MDEC atau sebahagian daripada Penjana Kerjaya 2.0 dan program Penjana KPT-CAP.  - DagangNews.com