RM1.39 bilion pinjaman PKS diluluskan  - Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

RM1.39 bilion pinjaman PKS diluluskan  - Tengku Zafrul

Gambar Facebook Tengku Zafrul

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 April - Kerajaan telah meluluskan sebanyak 7,387 permohonan dengan nilai pinjaman sebanyak RM1.387 bilion bagi Pembiayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) setakat 9 April, 2021. 

 

“Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2 bilion yang mengutamakan PKS yang belum pernah mendapat pinjaman daripada bank sebelum ini.

 

“Bagi tempoh yang sama, seramai 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja telah menerima manfaat Program Subsidi Upah (PSU) 1.0 di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan PENJANA,” jelas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) Ke-50 hari ini. 

 

Ujar Tengku Zafrul, permohonan PSU 1.0 yang diluluskan telah mencapai nilai RM12.872 bilion. 

 

Dalam pada itu, di bawah PSU 2.0 setakat 9 April, sejumlah RM1.148 bilion telah disalurkan di bawah Kerangka Insiatif Tambahan Prihatin (KITA PRIHATIN) kepada 73,210 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 631,801 pekerja. 

 

Bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan pula, seramai 132,403 pekerja telah berjaya mendapat pekerjaan melalui program tersebut, berbanding 132,118 pada minggu sebelumnya.  

 

Antara industri dan sektor utama yang mengambil pekerja termasuklah pembuatan serta perdagangan borong dan runcit.  

 

Tambah Tengku Zafrul, sejumlah RM62.5 juta telah disalurkan kepada 13,859 perniagaan dalam bentuk geran dan pinjaman untuk langganan perkhidmatan digitalisasi setakat 9 April.  

 

Ini bagi menyokong penggunaan teknikal dan digital dalam kalangan PKS dan syarikat di peringkat pertengahan (MTC). - DagangNews.com