RM155 juta rayuan GKP 2.0 dibayar esok | DagangNews Skip to main content

RM155 juta rayuan GKP 2.0 dibayar esok

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Pembayaran bagi rayuan Geran Khas Prihatin (GKP 2.0) yang melibatkan peruntukan berjumlah RM155 juta akan disalurkan esok.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah tersebut melibatkan seramai 52,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro yang berkelayakan dan belum pernah menerima GKP.

 

"Susulan proses permohonan rayuan berkenaan, sukacita dimaklumkan bahawa hampir 52,000 PKS mikro diluluskan menerima Rayuan GKP 2.0 dengan peruntukan sebanyak RM155 juta.

 

"Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan semasa permohonan Rayuan GKP 2.0 pada 5 Februari 2021 dan semakan status kelulusan boleh dibuat mulai 4 Februari 2021 melalui portal GKP, iaitu https://akp hasil.gov.my. 

 

"Mengambil kira GKP 1.0 dan GKP 2.0 termasuk rayuan yang diluluskan, jumlah keseluruhan penerima GKP adalah hampir 900,000 PKS mikro dengan jumlah bantuan kewangan sebanyak RM2.7 bilion," jelas beliau dalam satu kenyataan.

 

GKP 2.0 dibuka semula di bawah pakej rangsangan ekonomi Kita Prihatin merupakan bantuan kewangan secara one-off berjumlah RM3,000 kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro yang berkelayakan dan tidak pernah menerima GKP.

 

GKP 2.0 bertujuan meringankan beban kewangan perniagaan ekoran penularan wabak COVID-19 dan bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran dan perkhidmatan demi kelangsungan PKS mikro.

 

Di bawah GKP 1.0 dan 2.0 yang diumumkan sebelum ini, lebih 850,000 PKS mikro seluruh negara telah menerima manfaatnya dengan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM2.55 bilion.

 

 

Penambahan peruntukan bagi GKP pada tahun 2021 telah diumumkan seperti berikut;


1) Belanjawan 2021

  • Bantuan kewangan sebanyak RM1,000 melalui GKP Tambahan, yang akan diberikan kepada peniaga dan penjaja di Sabah. 
  • Ini dijangka akan memanfaatkan 50,000 PKS mikro dengan peruntukan sebanyak RM50 juta.

 


2) Pakej Bantuan Permai

  • Perluasan bantuan GKP Tambahan atau GKP Permai, kepada 815,000 PKS di semua negeri yang melaksanakan PKP dengan bayaran RM1,000, manakala 35,000 PKS di luar kawasan PKP akan menerima RM500.
  • Inisiatif GKP Permai ini melibatkan peruntukan tambahan hampir RM830 juta. 
  • Maklumat lanjut boleh didapati di pautan https://belanjawan2021.treasury gov.my/permai/faq/gkp.html.

 

 

Tambah beliau, kerajaan berharap agar bantuan langsung yang disalurkan kepada PKS mikro itu akan meringankan beban terutamanya PKS mikro yang amat terkesan akibat pelaksanaan PKP atau PKPB. - DagangNews.com