RM155.18 bilion disalur kepada pengurus portfolio luaran untuk pelaburan - KWSP | DagangNews Skip to main content

RM155.18 bilion disalur kepada pengurus portfolio luaran untuk pelaburan - KWSP

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Okt. - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menyalurkan sebanyak RM155.18 bilion kepada pengurus portfolio luaran setakat 31 Disember 2020. 

 

Jumlah ini, yang telah dilaburkan ke dalam ekuiti dan instrumen pendapatan tetap, mewakili 15.55% daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP.

 

Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, walaupun terpaksa beroperasi dalam persekitaran pasaran global yang tidak menentu akibat pandemik COVID-19, pengurus portfolio luaran KWSP tetap menunjukkan prestasi pelaburan yang baik dan berupaya memberikan pulangan dalam lingkungan objektif pelaburannya.

 

“Seiring dengan pertumbuhan saiz dana, KWSP akan terus memperuntukkan sebahagian daripada dana tersebut kepada pengurus portfolio luaran bagi mengoptimumkan pulangan dan meningkatkan prestasi aset. 

 

Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir
Ahmad Badri Mohd Zahir

 

“Ketelitian pandangan dan kepakaran mereka telah menjadi antara faktor penyumbang kepada kejayaan KWSP dan kesejahteraan persaraan ahli, terutamanya ketika keadaan ekonomi yang mencabar ini,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Bagi Anugerah Tahunan Pengurus Portfolio Luaran 2021, menurut KWSP, sebanyak 19 anugerah yang terdiri daripada sembilan kategori Pendapatan Tetap dan 10 kategori Ekuiti, telah diberikan kepada pengurus-pengurus portfolio luaran yang terbaik sebagai pengiktirafan prestasi cemerlang mereka.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 2020, KWSP telah mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 5.20% dengan jumlah agihan sebanyak RM42.88 bilion untuk Simpanan Konvensional.

 

Sementara, 4.90% diumumkan bagi Simpanan Shariah dengan jumlah agihan sebanyak RM4.76 bilion. 

 

Secara kumulatif, agihan KWSP pada tahun 2020 adalah berjumlah RM47.64 bilion.

 

Selaras dengan matlamat pelaburan lestari, KWSP juga bekerja rapat dengan pengurus portfolio luaran untuk inisiatif Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) institusi itu dalam aspek membina kesedaran serta mengaplikasikan parameter kemampanan dalam proses pelaburan oleh pengurus dana bagi memastikan keselarasan matlamat antara kedua-dua pihak.

 

“KWSP yakin bahawa pengurus dana akan terus mencatatkan prestasi cemerlang serta mengekalkan standard yang tinggi dalam menguruskan portfolio KWSP, selain memastikan aset-aset terus mampan untuk jangka panjang,” tambah Ahmad Badri. - DagangNews.com