Skip to main content

RM377.7 juta, untung bersih Bursa Malaysia tertinggi sejak 2005

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Jan. - Bursa Malaysia Berhad menyaksikan keuntungan selepas cukai, zakat dan kepentingan minoriti (PATZAMI) pada tahun kewangan 2020 (FY20) yang berakhir 31 Disember lalu melonjak sehingga 103.2% kepada RM377.7 juta daripada RM185.9 juta pada FY19. 

 

Lonjakan lebih 100% itu dipacu oleh Pasaran Sekuriti dan Derivatif yang mencatatkan hasil operasi lebih tinggi iaitu RM778.8 juta daripada RM480.1 juta pada FY19, meningkat sebanyak 62.2%. 

 

Menurut sebuah kenyataan media berhubung prestasi FY20 Bursa Malaysia, keuntungan bersih tersebut mencatatkan nilai tertinggi sejak organisasi itu pertama kali disenaraikan pada tahun 2005. 

 

Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, walaupun menghadapi cabaran kesihatan dan ekonomi yang berterusan, kebanyakan pasaran modal dengan kecairan domestik yang kukuh seperti Malaysia menerima manfaat daripada peningkatan kemasukan pelabur runcit domestik.

 

“Dibantu oleh kemudahan pembrokeran dalam talian dan persekitaran kadar faedah rendah yang kondusif, purata nilai dagangan harian (ADV) meningkat dua kali ganda daripada RM1.93 bilion pada FY19 kepada RM4.21 bilion pada FY20.

 

“Keupayaan kami untuk menangani peningkatan jumlah yang ketara dan mencapai prestasi kewangan yang luar biasa ini adalah bukti komitmen berterusan dan teguh melalui pelaburan berterusan dalam inisiatif pertumbuhan kami.

 

“Penanda aras FBM KLCI mengakhiri tahun lalu dengan 2.4% lebih tinggi pada 1,627.21, salah satu pasaran ekuiti berprestasi terbaik di ASEAN, yang mencerminkan keyakinan dan sentimen pelabur dalam pasaran kami,” katanya pada majlis penyampaian prestasi kewangan FY20 Bursa Malaysia secara maya hari ini. 

 

Turut serta, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift dan Ketua Pegawai Kewangan Bursa Malaysia, Rosidah Baharom. 

 

Bursa Malaysia
TANGKAP layar penyampaian prestasi FY20 Bursa Malaysia secara maya hari ini. Dari kiri, Rosidah, Abdul Wahid dan Muhamad Omar.

 

Dalam ucapannya secara maya, Abdul Wahid turut mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 26 sen sesaham dan dividen khas sebanyak 8 sen sesaham bagi FY20, seperti mana dipersetujui oleh Lembaga Pengarah. 

 

Pemberian dividen itu masing-masing mencatatkan jumlah kira-kira RM210.3 juta dan RM64.7 juta. 

 

Jelas Abdul Wahid, ini membawa kepada jumlah pembayaran dividen bagi FY20 kepada 51 sen sesaham, iaitu 145% lebih tinggi daripada jumlah dividen, 20.8 sen yang dibayar pada tahun kewangan sebelumnya. 

 

Sementara itu, Muhamad Umar berkata, operasi pasaran saham yang berterusan telah membantu mengekalkan aliran modal dalam ekonomi Malaysia untuk memenuhi keperluan perniagaan dan individu.

 

Ujarnya, walaupun berdepan cabaran pandemik COVID-19, ekuiti Malaysia menunjukkan daya tahan di mana pelabur runcit telah menyumbangkan impak positif kepada kecairan dan kedalaman pasaran. 

 

“Pada FY20, ADV pelabur runcit meningkat sebanyak 236% kepada 1.6 bilion, ADV runcit tertinggi dalam sejarah Bursa Malaysia. 

 

“Literasi kewangan yang lebih baik dalam kalangan pelabur runcit menunjukkan keberkesanan program jangkauan kami dalam beberapa tahun kebelakangan ini. 

 

“Selain itu, 65% daripada jumlah akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) yang dibuka adalah golongan milenium (berumur 25-40 tahun),” jelasnya lanjut. 

 

Baca : Pelabur runcit muda hampir 'penuhi' pasaran ekuiti 2020

 

Dari segi Pasaran Sekuriti, Bursa Malaysia menyaksikan hasil dagangan sebanyak RM498.9 juta pada FY20, meningkat 114.3% daripada RM232.8 juta didorong oleh ADV yang lebih tinggi. 

 

Sementara hasil dagangan Pasaran Derivatif pula melonjak sebanyak 26.0% kepada RM91.1 juta daripada RM72.3 juta susulan jumlah kontrak niaga minyak sawit mentah (FCPO) dan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FKLI) yang lebih tinggi. 

 

Purata Kontrak Harian (ADC) bagi pasaran tersebut menyaksikan peningkatan sebanyak 32.8% dengan sejumlah 73,523 kontrak pada tahun kewangan berkenaan berbanding 55,372 kontrak pada FY19.

 

Namun, hasil dagangan Derivatif, yuran persidangan dan pendapatan berkaitan pameran menyusut 95.6% kepada RM0.2 juta pada FY20 daripada RM5 juta pada FY19 susulan pembatalan Palm and Lauric Oils Price Outlook Conference & Exhibition 2020 yang sebaliknya dianjurkan secara maya. 

 

Pada pembentangan prestasi kewangan oleh Rosidah, jumlah perbelanjaan operasi Bursa Malaysia pula melonjak sebanyak 18.5% kepada RM291.8 juta daripada RM246.2 juta pada FY19 susulan kos staf yang lebih tinggi, penyelenggaraan teknologi maklumat dan yuran profesional. - DagangNews.com