Skip to main content

RMK-12, Belanjawan 2022 diharap beri gambaran jelas prospek pertumbuhan Malaysia - HLIB

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR  24 Sept. - Pertemuan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) rabu lalu telah meredakan ketakutan krisis hutang Evergrande, dan pihaknya menjangkakan KLCI akan mampu mencapai paras 1500-1512 mata.

Hong Leong Investment Bank berkata, pengumuman Rancangan Malaysia ke-12 pada 27 September ini an Belanjawan 2022 Oktober depan diharapkan dapat memberi gambaran yang lebih jelas mengenai prospek pertumbuhan jangka pendek hingga sederhana Malaysia dan menawarkan pelbagai peluang pelaburan kepada para pelabur.

"Kami berpendapat bahawa kelemahan pasaran semasa dapat menjadi daya tarik berikutnya untuk pembukaan semula ekonomi Malaysia sekaligus dapat meredakan risiko politik dan keyakinan terhadap pembukaan kembali sektor ekonomi lain ketika negara memasuki fasa endemik pada akhir tahun," katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Sementara itu Bursa Malaysia dibuka sedikit tinggi hari ini di tengah prestasi Wall Street yang lebih baik semalam.

Pada jam 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.54 mata kepada 1,539.88, dari 1,539.34 pada hari Khamis.

Ia dibuka 3.06 mata lebih tinggi pada 1,542.40.

Kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 234 berbanding 133, sementara 287 kaunter tidak berubah manakala 1,658 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Setakat pagi ini jumlah dagangan dicatatkan sebanyak 267.36 juta unit bernilai RM128.30 juta.

Dalam pada itu Malacca Securities Sdn Bhd menjangkakan kenaikan segera bagi ekuiti Malaysia di sokong oleh aktiviti tawar-menawar yang semakin meningkat, dengan indeks utama kini menemui kestabilan pada tahap semasa. -DagangNews.com