Roller Coaster OPR, kebimbangan harga terus naik dan naik | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 17 September 2022

Roller Coaster OPR, kebimbangan harta terus naik dan naik

 

 

Kadar Dasar Semalaman (OPR) naik lagi sebanyak 25 mata asas!  

Inilah yang diputuskan oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) apabila mereka bersetuju untuk menaikkan OPR buat kali ketiga berturut-turut pada bulan September.

 

Ia menjadikan kadar terbaru OPR meningkat kepada 2.5 peratus. Kenaikan ini juga adalah berlawanan dengan jangkaan umum yang rata-rata percaya BNM tidak akan menaikkan kadar OPR buat kali ketiga tahun ini.

 

Kenaikan OPR ini bakal dirasai oleh semua peminjam yang mempunyai pinjaman yang bersandarkan pada perubahan OPR seperti pinjaman peribadi dan pinjaman perumahan.

 

Kesan segera melibatkan bebanan ansuran bulanan mereka yang akan bertambah seiring dengan kenaikan OPR ini. Heboh di seluruh platform media sosial, ramai yang mengeluh dengan tindakan BNM ini. Mereka mula merasa terbeban tatkala pada masa yang sama masih ramai sedang bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.

 


 

Eksponen

 

 


Kenapa BNM bertindak menaikkan kadar OPR?

Statistik Inflasi Negara

Inflasi telah menjadi musuh nombor satu negara pada tahun 2022. BNM melalui MPC telah membuat tindakan agresif terhadap dasar monetari dalam usaha untuk memperlahankan kadar inflasi negara.

 

Berdasarkan data inflasi terkini, bulan Julai dari Jabatan Perangkaan Negara, kadar inflasi Malaysia melonjak sebanyak 4.4 peratus kepada 127.9 berbanding 122.5 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

 

Peningkatan ini disebabkan oleh indeks makanan yang telah meningkat sebanyak 6.9 peratus dan menjadi penyumbang utama kepada kenaikan kadar inflasi secara keseluruhan.

 

Selain indeks makanan, Restoran dan Hotel meningkat sebanyak 5.8 peratus diikuti Pengangkutan sebanyak 5.6 peratus, Hiasan, Perkakasan dan Penyelenggaraan Isi Rumah  pula sebanyak 4.0 peratus,  Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain sebanyak 3.8 peratus.

 

Sementara itu, Perkhidmatan Rekreasi dan Kebudayaan turut mencatatkan peningkatan sebanyak 2.5 peratus, Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan sebanyak 2.1 peratus dan Pendidikan sebanyak 1.2 peratus. Hanya indeks Komunikasi sahaja yang kekal tidak berubah.


 

Eksponen

 


Bagaimana Kadar Inflasi Diukur?

Kadar inflasi Malaysia diukur melalui Indeks Harga Pengguna (CPI) dengan cara membandingkan bagaimana harga sekumpulan produk dan perkhidmatan telah meningkat atau menurun dengan tahun sebelumnya.

 

Walaupun CPI tidak merangkumi semua, tetapi ia mewakili barangan dan perkhidmatan dari 12 kumpulan utama yang biasanya dibeli oleh pengguna secara tetap.

 

Untuk mengira kesan terhadap kenaikan kadar inflasi, sebagai contoh, jika nilai CPI pada Julai 2022 adalah 122.5 dan ia meningkat kepada 127.9 pada tahun 2022, peratusan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan dari tahun 2021 hingga tahun 2022 adalah sama dengan kadar inflasi tahunan sebanyak 4.4 peratus.

 

Ini bermaksud, secara purata, pengguna kehilangan kuasa beli sebanyak 4.4 peratus dan hanya dapat membeli lebih sedikit barangan dan perkhidmatan daripada tahun sebelumnya.


 

BNM

Kesan Inflasi

Inflasi memberi kesan kepada pengguna berdasarkan situasi yang berbeza. Apabila inflasi meningkat, pengguna kehilangan kuasa beli (berbelanja) dan memerlukan lebih banyak wang atau perlu membelanjakan peratusan pendapatan yang lebih tinggi untuk membeli barangan dan mendapatkan perkhidmatan seperti sebelumnya.

 

Tetapi yang lebih menakutkan apabila inflasi meningkat secara mendadak, pengguna kehilangan kuasa beli pada kadar yang lebih cepat daripada biasa.

 

Kesan inflasi bukan hanya berkisarkan harga naik sahaja tetapi ia memberi kesan terhadap ekonomi secara keseluruhan baik kesan positif mahupun negatif.

 

Sebagai pengguna, ada banyak yang perlu dipelajari dan difahami mengenai inflasi serta kesan sebenar inflasi mengikut keadaan yang berbeza.


 

Eksponen

 


Memahami Hubung kait Inflasi dan Kadar Dasar Semalaman

Sejak pandemik COVID-19 membadai negara, kadar OPR telah diturunkan sebanyak empat kali sehingga mencecah paras 1.75 peratus.

 

Memandangkan kadar faedah telah berada pada paras yang rendah ketika pandemik, ini telah menyebabkan inflasi melonjak. Dalam erti kata lain kos sara hidup meningkat secara mendadak. Dalam usaha untuk mengekang inflasi, salah satu cara adalah melalui dasar monetari dengan menaikkan kadar faedah.

 

Secara teori, inflasi dan OPR berada dalam hubungan "songsang" atau berlawanan. Ini bermaksud apabila kadar OPR rendah, inflasi akan cenderung meningkat.

 

Apabila OPR berada pada kadar yang rendah, ini menyebabkan kadar faedah yang dikenakan atas pinjaman berkurangan dan kadar faedah atau pulangan ke atas akaun simpanan juga rendah. Keadaan ini menyebabkan ramai orang hilang minat untuk menyimpan dan cenderung untuk berbelanja dan membuat pinjaman.

 

Apabila OPR meningkat, kadar inflasi pula cenderung untuk menurun.  Dalam persekitaran OPR meningkat naik, ia telah meningkatkan kos (kadar faedah) ke atas pinjaman dan simpanan. Ini menyebabkan orang ramai mula mengurangkan perbelanjaan, tidak membuat pinjaman yang baru dan mula beralih untuk menyimpan atau membuat pelaburan dalam instrumen berasaskan kadar faedah.


 

Eksponen

 


Mengapa ini berlaku?

Kerana kini terdapat lebih banyak pilihan (kadar faedah yang tinggi) untuk orang ramai menyimpan wang mereka daripada membelanjakannya kerana mereka boleh mendapat pulangan yang tinggi.

 

Dan apabila permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan jatuh, ini sepatutnya memberi kesan kepada harga dengan menghalang kos daripada meningkat. Pembekal juga mungkin akan mengurangkan kos barangan dan perkhidmatan untuk menggalakkan orang ramai membelinya.

 

Inilah sebabnya mengapa dengan mengetatkan dasar monetari melalui meningkatkan OPR adalah alat atau cara untuk mengekang inflasi dari terus meningkat.

 

Adakah dengan mengetatkan dasar monetari adalah langkah yang betul? Melalui statistik data ekonomi, dasar monetari yang ketat berterusan dan pelarasan secara agresif bakal memberi kesan baik terutamanya kepada inflasi dan pertumbuhan ekonomi negara di samping dapat mengukuhkan nilai mata wang (Ringgit) pada masa hadapan.


 

BNM

 


Adakah OPR Akan Naik Lagi?

50-50. Kemungkinan besar, BNM tidak akan menaikkan OPR pada mesyuarat terakhir MPC November tahun ini tetapi bakal menaikannya pada bulan Januari tahun hadapan. Jika ini berlaku,  OPR akan kekal pada kadar 2.50 peratus.

 

Tetapi, jika BNM bertindak agresif dalam melawan inflasi dengan mengetatkan lagi dasar monetari dengan menaikkan 25 mata asas pada November tahun ini, OPR bakal meningkat kepada 2.75 peratus.

 

Jika inflasi masih terus meningkat, dijangkakan BNM akan meneruskan pengetatan dasar monetari dengan mengembalikan kadar OPR pada 3 peratus, Januari tahun hadapan sama seperti sebelum COVID-19 melanda. - DagangNews.com

 

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN

Portfolio Tags