Roti keluaran Gardenia sah naik harga 1 Disember ini | DagangNews Skip to main content

Roti keluaran Gardenia sah naik harga 1 Disember ini

 

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Nov - Syarikat pengeluar roti terkemuka negara, Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. mengumumkan kenaikan harga bagi produk berasaskan roti keluarannya antara 10 sen hingga 45 sen bermula 1 Disember ini.

 

Gardenia KL menerusi surat yang ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutifnya, Koh Chin Huat kepada peruncit memaklumkan, pihaknya terpaksa menyemak semula harga jualan runcit bagi kebanyakan produk mereka.

 

Katanya dalam satu kenyataan, harga pengguna global terus terkesan akibat kos tenaga dan bahan mentah yang kian meningkat, dan juga cabaran yang timbul daripada kekangan rantaian bekalan. 

 

Katanya, peningkatan ketara dalam kos pengeluaran dan bahan mentah adalah di luar kawalan mereka dan ia secara tidak langsung menyukarkan Gardenia tanpa sebarang pilihan kecuali menyemak semula harga.

 

Semakan harga itu dilaksanakan ekoran kenaikan harga bahan mentah, antara lain termasuk tepung, tepung gandum penuh, lemak sayuran, serbuk koko, susu dan pembungkusan. 

 

"Memang benar akan berlaku kenaikan harga roti itu pada Rabu, 1 Disember ini. Surat yang tular itu adalah benar," kata ibu pejabat Gardenia KL ketika dihubungi, hari ini.

 

gardenia
Senarai harga baharu roti keluaran Gardenia bermula 1 Disember ini.

 

Harga baharu yang ditetapkan kepada pengguna bagi sebuku Gardenia Original Classic 400g, adalah RM2.80 iaitu peningkatan sebanyak 30 sen.

 

Gardenia Original Classic Jumbo 600g pula kini berharga RM4, naik daripada RM3.55, manakala harga roti Gardenia Bran & WheatGerm 400g, yang kini RM2.50 akan dinaikkan kepada RM2.90.

 

Produk lain yang terbabit termasuk Gardenia Fluffy Buns (RM3.70) dan Gardenia Puazz Buns (RM1.30).-Dagangnews.com