R&R Seremban PLUS bakal miliki lebih banyak kemudahan, kapasiti berganda | DagangNews Skip to main content

R&R Seremban PLUS bakal miliki lebih banyak kemudahan, kapasiti berganda

 Reka bentuk R&R Seremban (Arah Selatan) yang bakal dibina dalam tempoh 14 bulan.


 

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

 

PETALING JAYA 12 Okt – Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (Arah Selatan) di KM274.6 di Lebuhraya Utara-Selatan yang ditutup bagi kerja-kerja menaik taraf bakal berubah wajah menjadi kompleks yang memiliki kemudahan lebih banyak, serba baharu dan kapasiti berganda.

 

Ketua Pegawai Komersial PLUS, Christine Liew berkata, projek menaik taraf ini sebenarnya sudah lama dirancang untuk pelaksanaan tetapi terpaksa ditangguhkan berikutan pandemik COVID-19.

 

Beliau berkata, kos menaik taraf ini adalah lebih RM30 juta yang bukan satu peruntukan baru sebaliknya telah diluluskan beberapa tahun lalu.

 

Istimewanya R&R Seremban ini kata beliau, reka bentuk kompleks ini digarap daripada maklumat balas pelanggan PLYS dan sesi khas bersama kumpulan fokus yang membuat pilihan mereka.

 

‘’Kompleks ini akan menyediakan kapasiti berganda berbanding sekarang dan bakal memiliki ruang lebih banyak untuk penjual, medan food truck, lebih banyak ruang letak kereta dan indeks bangunan hijau,’’ katanya kepada DagangNews.com di sini hari ini.

 

 

Ketua Pegawai Komersial PLUS, Christine Liew
Ketua Pegawai Komersial PLUS, Christine Liew

 

 

Liew berkata, pelan menaik taraf R&R Seremban ini adalah seiring dengan arah tuju program Kelestarian PLUS untuk menjana lebih nilai kepada pemegang taruh, terutama keselesaan kepada pelanggan lebuh raya PLUS.

 

Kerja-kerja menaik taraf tersebut akan melibatkan keseluruhan premis bermula 13 Oktober 2021 sehingga 31 Disember 2022.

 

 

PLUS

 

 

Sepanjang tempoh penambahbaikan ini, semua outlet F&B dan kemudahan awam sedia ada di R&R akan ditutup.

 

Walau bagaimanapun, stesen minyak masih beroperasi seperti biasa dan PLUS turut menyediakan kemudahan sementara seperti tandas awam, surau, tempat letak kereta termasuk trak makanan kepada semua pelanggan lebuh raya.

 

Sementara itu, pelanggan lebuh raya yang menuju ke selatan boleh menggunakan R&R Dengkil, Hentian Sebelah Nilai, Hentian Sebelah Senawang, Restoran Jejantas Ayer Keroh, R&R Ayer Keroh atau mana-mana R&R dan hentian sebelah yang berdekatan untuk mendapatkan kemudahan makanan dan keperluan lain dengan lebih selesa.

 

 

PLUS

 

 

Pelanggan lebuh raya juga boleh menggunakan kemudahan tandas awam dan surau di mana-mana plaza tol yang terdekat.

 

Pelanggan lebuh raya juga mempunyai pilihan untuk menikmati tawaran makanan yang disediakan rakan perniaga R&R terpilih melalui fungsi Pra-Pesanan di https://orderdisini.plus.com.my/ atau menerusi Aplikasi PLUS untuk bawa pulang. – DagangNews.com