RTM WORLD: Impian miliki saluran tv rasmi Malaysia untuk siaran antarabangsa | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Industri Kreatif - 10 September 2021

RTM WORLD: IMPIAN MEMILIKI SALURAN TV RASMI MALAYSIA UNTUK SIARAN ANTARABANGSA

 

 

SEKTOR kandungan kreatif dan penyiaran mempunyai peranan dan impak yang besar terhadap sesebuah negara dalam pelbagai aspek. Ekonomi, seni budaya, pelancongan, teknologi, malah hubungan diplomatik antarabangsa merupakan antara aspek yang boleh digerakkan dengan mengaplikasi dan mengeploitasi sebaiknya kandungan kreatif dan penyiaran, termasuklah bidang berkaitan yang lain seperti perfileman dan inovasi.

 

Atas faktor itulah kita dapat melihat banyak negara melalui organisasi penyiaran awam (penyiar milik kerajaan) mereka membangun dan mengendalikan saluran antarabangsa mereka sendiri - yang kebanyakannya dalam bahasa Inggeris, serta tidak ketinggalan dalam bahasa-bahasa utama yang lain.

 

Sebagai ruang usaha diplomasi budaya, menyebar luas ideologi, mengangkat imej serta mempersembahkan aspirasi negara - saluran televisyen antarabangsa ini juga mampu menjadi platform untuk sesebuah negara mempromosi pendirian mereka dalam isu-isu global semasa, sekaligus mengelakkan manipulasi berita oleh agensi berita luar negara terutama yang menyentuh sensitiviti nasional.

 

Ia juga sebagai usaha untuk menjaga kepentingan negara, memposisikan peranan negara dalam masyarakat antarabangsa, serta pastinya sebagai medium perantara dalam konteks persefahaman dan usaha perdamaian.

 

Terdapat pelbagai pengisian yang biasanya mengisi saluran antarabangsa milik penyiar awam ini, namun paling banyak adalah saluran berkonsep berita dan hal ehwal semasa. Menampilkan isu global dengan perspektif mereka dalam masa sama tidak menafikan cita rasa universal.

 

Melihat kepada senario tersebut, tidak keterlaluan rasanya jika saya melihat keperluan untuk Malaysia amnya, serta Radio Televisyen Malaysia (RTM) khususnya, selaku penyiar awam negara ini bagi memiliki saluran antarabangsanya sendiri.

 

Usaha mewujudkan saluran yang suka saya namakan sementara sebagai `RTM World` adalah sebuah usaha nasional yang pastinya bakal membawa ruang dan peluang, malah pendedahan berharga bagi tenaga produksi kandungan serta penyiaran tempatan untuk beraksi bagi siaran global.

 

 

rtm
Studio Berita RTM di Angkasapuri

 

 

Bagi menyorot keperluan dan membuktikan kewajaran cadangan ini, mungkin kita boleh meninjau rujukan beberapa negara yang telah mengusahakan pendekatan ini sejak sekian lama.

 

Organisasi-organisasi ini meskipun memiliki saluran televisyen tempatan bagi memenuhi tanggungjawab utama sebagai stesen penyiar milik kerajaan, namun mereka atas kesedaran keperluan dunia tanpa sempadan tetap membangun dan memiliki saluran khusus untuk siaran pasaran dan khalayak antarabangsa.

 

Salah satu saluran antarabangsa milik negara yang dominan kini pastinya saluran BBC World News yang dimiliki dan dikendalikan oleh BBC Global News Ltd, syarikat di bawah salah sebuah organisasi penyiaran awam tertua di dunia; British Broadcasting Corporation (BBC).

 

Saluran berita 24 jam yang dimiliki United Kingdom ini boleh ditonton di lebih 200 negara di seluruh dunia melalui pelbagai platform, sama ada sebagai saluran percuma (free-to-air) mahupun saluran berbayar (pay TV) melalui pelbagai platform termasuk melalui perkhidmatan Unifi TV bagi penonton di Malaysia.

 

Bagi rantau Asia, rangkaian berita antarabangsa milik penyiar awam yang menyerlah pastinya yang dimiliki oleh negara China  iaitu saluran CGTN atau nama penuhnya China Global Television Network.

 

Memulakan siaran sejak tahun 1979 sebagai CCTV-2, ia mula semakin dikenali dunia setelah beberapa kali dijenamakan semula, hingga akhirnya dikenali sebagai CGTN bermula 31 Disember 2016. CGTN bersiaran dari empat buah pusat penyiaran di Beijing, Nairobi, Washington dan London dan mempunyai beberapa saluran berbahasa utama lain di dunia seperti saluran berbahasa Arab, Perancis, Sepanyol dan Rusia. Di Malaysia, saluran ini boleh ditonton melalui platform ASTRO.

 

Sebuah lagi rangkaian yang antarabangsa milik negara dari Asia yang terkenal adalah NHK World yang mempunyai tiga perkhidmatan utama – saluran televisyen hal ehwal semasa berbahasa Inggeris dengan nama yang sama – saluran radio pelbagai bahasa iaitu ‘NHK World Radio Japan’ – dan saluran hiburan berbahasa Jepun iaitu `NHK World Premium`.

 

 

nhk

 

 

Dimiliki Japan Broadcasting Corporation (NHK), ia bersiaran di seluruh dunia melalui rangkaian satelit dan internet, malah boleh ditonton di platform OTT seperti Apple TV dan Roku. Seperti kebanyakan pendekatan multiplatform yang diguna pakai saluran berita kini, NHK World juga boleh diikuti dalam portal berita dalam bentuk teks dan foto.

 

Negara Korea Selatan tidak ketinggalan melalui saluran KBS World – saluran televisyen dan radio antarabangsa milik Korean Broadcasting System (KBS), organisasi penyiar awam di negara tersebut.

 

Kebanyakan kandungan di KBS World adalah kandungan dari dua saluran domestik KBS di Korea Selatan iaitu KBS1 dan KBS2 – yang dipilih berasaskan kesesuaian untuk siaran antarabangsa.

 

Berbeza dengan saluran antarabangsa yang lain yang mengguna pakai bahasa Inggeris, KBS World cuba untuk terus mengutamakan bahasa Korea, dengan kebanyakan kandungannya adalah berbahasa Korea - beserta sarikata bahasa Inggeris dan bahasa mengikut segmen pasaran tertentu.

 

Selain saluran TV utamanya, ia juga mempunyai saluran televisyen yang khusus untuk negara tertentu, iaitu KBS World Japan, KBS World Indonesia, KBS World America dan KBS World Latino – yang beroperasi dan bersiaran dari pelbagai negara di luar Korea Selatan.

 

Dua buah negara Eropah – Perancis dan Jerman juga mempunyai saluran penyiaran antarabangsanya yang tersendiri iaitu France 24 (Perancis) dan DW (Jerman). Begitu juga dengan Australia yang memiliki saluran ABC Australia (sebelum ini dikenali Australia Television International) melalui organisasi penyiar awamnya – Australia Broadcasting Corporation (ABC).
 

 

abc aussie
IBU pejabat ABC Australia di Brisbane.

 

 

Sebelum saya pergi lebih jauh, mungkin akan ada yang mengatakan negara-negara tersebut tidak wajar dibandingkan dengan Malaysia – atas faktor mereka yang jauh lebih maju dengan ekonomi yang berbanding Malaysia. Jadi, suka untuk saya mengajak kita melihat dalam konteks negara serantau di Asia Tenggara.

 

Negara jiran Singapura juga telah terkehadapan dalam konteks ini. Mediacorp iaitu organisasi penyiaran awam milik kerajaan Singapura telah memulakan saluran CNA (sebelum ini dikenali sebagai Channel NewsAsia) pada 1 Mac 1999 dengan memfokuskan berita dan hal ehwal semasa benua Asia.

 

Kini CNA bersiaran sebagai saluran percuma (FTA) di Singapura, serta bersiaran sebagai saluran langganan di 29 wilayah di rantau Asia dan Australia – termasuk Malaysia.

 

Malah negara Brunei yang jauh lebih kecil kapasitinya berbanding Malaysia pun mempunyai saluran khusus bagi tujuan siaran global; iaitu saluran RTB Sukmaindera kendalian penyiar awamnya - Radio Televisyen Brunei (RTB).

 

 

RTB Sukmaindera
RTB Sukmaindera

 

 

Dengan pelbagai kekangan yang membataskannya untuk bersiaran di platform luar negara – namun ia tidak menghalang untuk saluran 24 jam dengan slogan `Colours of Brunei Darussalam` untuk tetap bersiaran bagi tontonan penonton global dari seluruh dunia melalui platform portal RTB dan aplikasi RTBGo.

 

Sebuah lagi negara jiran kita iaitu Indonesia juga telah memulakan usaha ke arah ini apabila TVRI – sebagai organisasi penyiaran awam mereka kini dalam peringkat pelaksanaan ke arah mewujudkan saluran TVRI World, sebagai `suara`  Indonesia di pentas antarabangsa serta bakal bersiaran tidak lama lagi.

 

Jadi, saya tidak dapat melihat sebab mengapa Malaysia untuk tidak turut memiliki saluran antarabangsa milik negara – bagi membawa wajah Malaysia untuk tontonan global. Kita boleh memulakannya dengan kapasiti dan skala yang praktikal dan mengikut kemampuan semasa.

 

Dengan segala kemudahan dan kemampuan teknologi yang ada pada dunia hari ini – kita mempunyai pilihan untuk bermula sekecil-kecil usaha dengan bersiaran secara strim melalui platform portal sehingga mampu menjadi sebahagian saluran berbayar di platform-platform antarabangsa suatu hari ini membuktikan bahawa usaha ini adalah usaha realistik.

 

Apa yang penting adalah kuratorial kandungan dan pengisiannya mencerminkan suara dan imej Malaysia untuk tatapan global.

 

Sebagai sebuah negara yang unik dengan masyarakat majmuk dan kepelbagaian etnik yang dimilik Malaysia, saya melihat selain menjadi saluran berita dan hal ehwal semasa antarabangsa – saluran yang berpotensi dibangunkan ini boleh menjadi platform memaparkan keistimewaan dalam konteks budaya dan pelancongan.

 

 

angkasapuri
Bangunan Angkasapuri merupakan ikon negara ini.

 

 

Semoga RTM World atau apa sahaja nama yang boleh diberikan kepada saluran ini nanti bakal menjadi realiti suatu hari nanti dalam masa terdekat. - DagangNews.com

 

 

 

Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INDUSTRI KREATIF

 

 

Portfolio Tags