Ruang Kerja Bersama pertama bagi komuniti digital Johor di Medini Iskandar | DagangNews Skip to main content

Ruang Kerja Bersama pertama bagi komuniti digital Johor di Medini Iskandar

Majlis Pelancaran Common Ground Iskandar Space (CGIS) oleh Dato' Hasni Mohammad disaksikan oleh Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad di Iskandar Puteri pada 10 Februari 2022..

ISKANDAR PUTERI 10 Okt - Iskandar Investment Berhad Ventures (IIBV), anak syarikat milik penuh Iskandar Investment Berhad (IIB) hari ini merasmikan pembukaan co-working space atau ruang kerja bersama yang pertama di Iskandar Puteri.

 

Ruang kerja bersama tersebut, Common Ground Iskandar Space (CGIS) merupakan kerjasama antara IIBV dan Common Ground Works Sdn Bhd (Common Ground). Perjanjian Kolaborasi antara IIBV dan Common Ground menyaksikan Common Ground bertanggungjawab untuk membangunkan dan mengendalikan CGIS yang pertama di Iskandar Puteri.

 

Ruang kerja bersama ini dijangka menyediakan peluang jaringan di seluruh negara dan rantau Asia Tenggara bagi Komuniti Digital di Johor sekali gus membantu meningkatkan pertumbuhan perniagaan mereka.

 

Lebih 100 acara perniagaan dan sosial bakal dianjur di CGIS dalam tempoh 12 bulan akan datang. Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan syarikat permulaan di Johor digalakkan untuk menyertai dan mengambil bahagian dalam program tersebut.

 

Sebagai pusat ekonomi digital dan pembangunan bakat di Johor, CGIS akan menjadi sebahagian platform 'Iskandar New Economic & Talent' (NEXT). CGIS bakal memupuk sebuah ekosistem digital yang boleh meningkatkan aktiviti ekonomi dan pembangunan bakat di Iskandar Malaysia.

 

Menteri Besar Johor, Dato’ Hasni Mohammad,  yang merasmikan majlis pembukaan berkata, “beliau difahamkan, inisiatif terbaharu ini menandakan satu lagi peristiwa penting bagi IIB untuk membangunkan dan melaksanakan ekosistem berasaskan teknologi bagi menyokong Wawasan Johor 2030 dan aspirasi digital, serta Rangka Tindakan ‘MyDigital’ Negara.

 

Menurutnya, kerjasama antara IIB dan Common Ground ini sememangnya signifikan kerana ia menandakan kesungguhan kedua-dua pihak dalam memajukan lagi adaptasi IR4.0 di Johor ke arah menjadikan Iskandar Puteri Hab Digital Wilayah Selatan."

 

CGIS menawarkan sebanyak 293 ruang kerja dengan keluasan 14,500 kaki persegi dan mengambil ruang dua tingkat di Medini 6, Iskandar Puteri. Ahli co-working space juga boleh menggunakan pelbagai kemudahan hot desks, fixed desks dan pejabat persendirian selain adanya bilik mesyuarat, ruang acara (event space) dan ruang rehat (lounge).

 

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Eksekutif Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd, Mohd Radzi Mohd Amin;  Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Pembangunan), Dato' Mohammed Ridha Dato' Abd. Kadir; dan Ketua Pemasaran Common Ground, Lynette Ow.

 

 

iib
Dari kiri: Mohd Radzi Mohd Amin, Dato' Mohammed Ridha Dato' Abd. Kadir, Dato' Hasni Mohammad, Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad dan Lynette Ow di Majlis Pelancaran Common Ground Iskandar Space (CGIS) pada 10 Februari 2022.
 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Khairil Anwar Ahmad berkata, penubuhan ruang kerja bersama ini akan membantu meningkatkan inovasi syarikat permulaan dan pekerja bebas atau freelancers di rantau ini dengan menyediakan platform dan kemudahan yang tersedia lengkap untuk industri berkembang maju.

 

Beliau berkata, situasi pandemik juga telah menjadi pemangkin dalam mempercepatkan transformasi digital yang melahirkan pelbagai platform berasaskan aplikasi seterusnya menggalakkan peningkatan Ekonomi Gig.

 

''Kami di IIB berbangga kerana dapat menyediakan platform ini kepada komuniti digital Johor dan dapat membantu mempercepatkan pertumbuhan perniagaan mereka,” katanya.

 

CGIS turut mempunyai aplikasi tersendiri yang menghubungkan ahli mereka dengan manfaat perkongsian terkini dan acara harian, serta dengan beribu-ribu ahli lain di Common Ground rantau Asia Tenggara.

 

Aplikasi ini juga membolehkan pengguna menempah bilik mesyuarat, penerbangan, hotel, pengangkutan pergi balik lapangan terbang, perkhidmatan Sumber Manusia, perkhidmatan kewangan dan banyak lagi.

 

Penubuhan CGIS juga akan menyediakan peluang rangkaian di seluruh Negara dan di rantau Asia Tenggara bagi Komuniti Digital Johor.

 

Pengasas bersama Common Ground, Juhn Teo berkata, sebagai komuniti kerja bersama terbesar di Malaysia, pihaknya amat teruja dapat mengembangkan rangkaian syarikat ke lokasi dan ahli baharu.

 

''CGIS kini menempatkan Synapse Innovation, sebuah syarikat AI dan Analitik Data yang baru diambil alih Aerodyne Group, penyedia penyelesaian DT3 (Drone Tech, Data Tech, dan Digital Transformation) antarabangsa yang berpangkalan di Malaysia, dan Da-Jiang Innovations (DJI), pengeluar dron pengguna nombor satu di dunia. Kehadiran syarikat tersebut menjadikan kadar occupancy ruang CGIS sebanyak 40%,'' ujarnya.

 

CGIS di Medini membuka pintunya kepada usahawan teknologi dan komuniti kerja bersama, memperkukuh semangat keusahawanan di Johor dan rantau ini.

 

Maklumat lanjut tentang CGIS dan acara akan datang boleh didapati di commonground.work/locations/my/johor/iskandar-puteri. - DagangNews.com