Rubberex anjur EGM undi cadangan terbitan 554,850,234 saham bonus | DagangNews Skip to main content

Rubberex anjur EGM undi cadangan terbitan 554,850,234 saham bonus

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Sept. - Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bakal mengundi cadangan terbitan bonus saham sebanyak 554,850,234 oleh syarikat sarung tangan, Rubberex Corporation M Berhad (Rubberex) pada 5 Oktober depan.

Menurut Rubberex menerusi pengumuman syarikat Bursa Malaysia, pemberian dua saham bonus kepada setiap pemegang saham syarikat sedia ada sebagai ganjaran selain membolehkan mereka mempunyai penyertaan lebih luas dalam ekuiti syarikat berkenaan. 

“Terbitan cadangan saham bonus itu tidak akan memberi kesan ke atas perolehan syarikat tetapi perolehan sesaham (EPS) akan tercair (diluted) susulan peningkatan jumlah terbitan saham Rubberex.

“Tanpa sebarang keadaan yang tidak dijangka dan bergantung kepada persetujuan relevan, terbitan saham bonus dijangka selesai pada penghujung tahun 2020,” kata Rubberex.

Terbitan saham berkenaan bergantung kepada Bursa Securities yang telah menerima surat berhubung perkara berkenaan pada 11 September 2020, persetujuan pemegang saham Rubberex pada EGM dan pihak berkuasa atau pihak ketiga yang berkenaan. 

Pada 27 Ogos lalu, M&A Securites bagi pihak lembaga pengarah Rubberex mengumumkan cadangan terbitan saham bonus berkenaan. 

Susulan itu, Bursa Securities telah meluluskan prinsipnya menerusi senarai dan sebut harga bagi saham yang bakal diterbitkan dalam pasaran utama Bursa Malaysia.

“Terbitan saham ini akan meningkatkan saham Rubberex tetapi tidak akan meningkatkan modal saham.

“Memandangkan cadangan bonus saham ini diambil kira tanpa modal daripada rizab syarikat, ia membolehkan lembaga pengarah untuk memelihara rizab dengan tujuan memastikan syarikat mempunyai rizab untuk memudahkan sebarang pembayaran dividen syarikat,” tambah Rubberex.

Berdasarkan perenggan 6.30 (1A) MMLR, penerbit yang tersenarai perlu memastikan harga saham bonus tidak kurang daripada RM0.50 berdasarkan purata harga jumlah saham harian bagi tempoh tiga bulan sebelum tarikh permohonan. - DagangNews.com