Rumah tertunggak bil 6 bulan dijamin tidak dipotong bekalan letrik | DagangNews Skip to main content

Rumah tertunggak bil 6 bulan dijamin tidak dipotong bekalan letrik

 

SHAH ALAM 21 Mei - Kerajaan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memastikan tiada pemotongan bekalan elektrik di rumah yang tertunggak bil lebih 6 bulan sehingga 30 Jun 2021.

 

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Shamsul Anuar Nasarah berkata, pengguna domestik juga ditawarkan Pelan Bayaran Mudah selama enam bulan mulai 1 Januari sehingga 30 Jun 2021 bagi membantu menguruskan bil elektrik mereka.

 

“Mengambil kira keperluan untuk meneruskan usaha membantu rakyat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, kerajaan dengan kerjasama TNB akan memastikan tiada pemotongan bekalan elektrik dilaksanakan di kediaman yang mempunyai tunggakan tidak melebihi 6 bulan sehingga 30 Jun 2021,” katanya dalam kenyataan di sini.

 

nasarah
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Shamsul Anuar Nasarah

 

Shamsul Anuar berkata, inisiatif ini diperkenalkan bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat berikutan penularan pandemik COVID-19 di negara ini.

 

Menurut beliau, bagi membantu pengguna domestik menguruskan pembayaran bil elektrik mereka, program Pelan Bayaran Mudah juga turut dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021.

 

“Melalui pelaksanaan inisiatif ini, adalah dianggarkan seramai 6.96 juta pengguna domestik di semenanjung memperoleh manfaat tersebut dan diharapkan inisiatif ini akan dapat membantu memelihara kesejahteraan hidup rakyat dalam keadaan ekonomi yang mencabar pada masa ini,” katanya.

 

Tahun lalu, Bantuan Prihatin Elektrik (BPE) tambahan diberikan kepada semua pengguna domestik di Semenanjung Malaysia iaitu diskaun secara sekali bayar (one-off) sehingga RM77 sebulan atau RM231 untuk tempoh tiga bulan pelaksanaan PKP, iaitu bagi penggunaan elektrik dalam bulan April, Mei dan Jun 2020. - DagangNews.com