Rundingan awam-swasta rangka dasar hadapi impak ekonomi pasca COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Rundingan awam-swasta rangka dasar hadapi impak ekonomi pasca COVID-19


KUALA LUMPUR 23 Jun - Kerajaan komited untuk terus mengadakan perundingan awam-swasta yang dapat membantu merangka dasar dan menggalakkan pemahaman lebih baik mengenai kesan COVID-19 terhadap ekonomi serta pasca pemulihan pandemik.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, kerajaan mengambil maklum laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia (MEM) yang menyaksikan Bank Dunia menyemak turun unjuran ekonomi negara kepada 4.5% untuk tahun ini.

 

Katanya, unjuran itu adalah lebih rendah daripada anggaran rasmi dikeluarkan oleh kerajaan iaitu di antara 6.0% hingga 7.5%.

 

"Ekonomi Malaysia berada pada trajektori pemulihan kukuh sebelum Mei 2021 dengan pertumbuhan KDNK benar yang bertambah baik iaitu -0.5% pada suku pertama dan pemulihan kukuh dalam sejumlah petunjuk ekonomi.

 

"Malangnya, peningkatan dalam kes COVID-19 dan pelaksanaan semula sekatan pergerakan mempunyai kesan kepada pemulihan ekonomi negara," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada majlis pelancaran laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia - 'Weathering the Surge' yang diterbitkan oleh Bank Dunia secara maya, hari ini.

 

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, pada masa ini pegawainya sedang meneliti angka berkaitan untuk menilai kesan sekatan pergerakan penuh bermula 1 Jun lalu terhadap ekonomi Malaysia.

 

"Jika langkah dibuat kerajaan termasuk sekatan pergerakan dan vaksinasi yang pantas, selain pematuhan tinggi terhadap prosedur standard operasi (SOP) berjaya mengurangkan jumlah kes, Malaysia dapat menjangkakan pemulihan ekonomi yang kukuh pada suku keempat tahun ini.

 

"Melangkah ke hadapan, unit perancang ekonomi akan terus bekerjasama erat dengan Kumpulan Bank Dunia," katanya.

 

Mustapa turut menyambut baik ikrar pemimpin G7 untuk menyumbang satu bilion dos vaksin COVID-19 dalam tempoh setahun ini kepada negara-negara miskin.

 

"Ikrar ini amat baik kerana peningkatan aktiviti ekonomi di seluruh dunia sejak kebelakangan ini dilihat sebagai agak tidak sekata.

 

"Negara-negara berpendapatan rendah mengalami pertumbuhan yang lemah berikutan kenaikan semula kes COVID-19," katanya. - DagangNews.com