Rundingan bagi cadangan pengambilalihan Ramsay Sime Darby tamat tanpa perjanjian | DagangNews Skip to main content

Rundingan bagi cadangan pengambilalihan Ramsay Sime Darby tamat tanpa perjanjian

KUALA LUMPUR 9 Sept - IHH Healthcare Bhd., Sime Darby Bhd. dan Ramsay Health Care Ltd telah memuktamadkan perbincangan mengenai cadangan pengambilalihan IHH bagi 100% kepentingan dalam Ramsay Sime Darby Health Care Sdn Bhd, tanpa perjanjian yang mengikat.

 

Perbincangan antara IHH dengan Ramsay dan Sime Darby telah selesai dan perbincangan itu tidak menghasilkan perjanjian yang mengikat, menurut IHH dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Ramsay Sime Darby Health Care Sdn Bhd ialah usaha sama 50:50 antara Sime Darby dan Ramsay.

 

Pada Mac 2022, IHH mengumumkan penyerahan cadangan indikatif yang tidak mengikat untukpengambilalihan 100% kepentingan dalam Ramsay Sime Darby Health Care daripada Sime Darby dan Ramsay pada harga RM5.67 bilion.

 

Sementara itu, dalam makluman berasingan hari ini, Sime Darby turut membuat pengumuman yang sama. 

 

Malah, ia berkata, masih percaya pada nilai kualiti usaha samanya dengan Ramsay serta hospital-hospital yang memenangi anugerah, diterajui oleh kepimpinan yang kukuh dengan komitmen untuk menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi.

 

"Bagaimanapun, kedua-dua Sime Darby dan Ramsay kekal komited untuk masa depan yang berjaya," katanya.

 

Setakat 2.03 petang ini, harga saham Sime Darby susut 6 sen atau 2.62% kepada RM2.23 manakala IHH juta susut 4 sen atau 0.64% kepada RM6.18 sesaham. - DagangNews.com