SAE, Kerajaan Selangor bekerjasama dalam bidang TVET aeroangkasa | DagangNews Skip to main content

SAE, Kerajaan Selangor bekerjasama dalam bidang TVET aeroangkasa

Pengarah Urusan SAE, Raymond Lim bertukar dokumen bersama Ketua Pegawai Eksekutif MBI Selangor, Norita Mohd. Sidek di majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Pameran Penerbangan Selangor di Subang.  

 

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Nov - Anak syarikat Airbus, Sepang Aircraft Engineering (SAE) menjalinkan kerjasama bersama Kerajaan Selangor bagi memberi tumpuan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bersama institusi dan agensi berkaitan di Selangor.

 

Menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) itu, SAE dan Menteri Besar Incorporated Selangor (MBI Selangor) akan menilai, mengenal pasti dan membangunkan program yang akan menyokong serta membantu perniagaan kecil dan sederhana yang berada dalam ekosistem aeroangkasa. 

 

“SAE berbesar hati untuk menyokong Kerajaan Selangor dalam usaha membangunkan negeri ini sebagai hab utama aeroangkasa.  

 

"Usaha pembangunan bakat, kemahiran dan pengetahuan teknikal adalah penting seiring dengan penyediaan  infrastruktur dan rangkaian hubungan dalam sektor aeroangkasa.

 

"Di SAE, kami memiliki juruteknik dan jurutera berkemahiran tinggi, serta pelatih vokasional dari pelbagai institusi dan agensi latihan aeroangkasa dan kejuruteraan.  

 

"Kami berharap kerjasama dengan MBI Selangor dalam membangunkan kumpulan bakat tempatan di samping menyokong pembangunan perniagaan kecil dan sederhana tempatan akan menyumbangkan kepada pembangunan ekosistem aeroangkasa global," kata Pengarah Urusan SAE, Raymond Lim dalam satu kenyataan, hari ini.

 

SAE merupakan pembekal EASA Part 145 yang diiktiraf, pembekal kerja penyelenggaraan, pembaikan dan membaik pulih, dengan kepakaran dalam bidang pesawat komersil, enjin dan komponen berkaitan.-Dagangnews.com