Sah, Netflix sertai Astro | DagangNews Skip to main content

Sah, Netflix sertai Astro

 

 

KUALA LUMPUR 24 Jun - Astro dan Netflix hari ini mengumumkan pemeteraian penjanjian strategik yang akan membawakan perkhidmatan penstriman terkenal Netflix ke platform Astro, sekali gus bakal memberikan pengalaman hiburan yang luar biasa kepada para pelanggan Astro.

 

Pelanggan Astro bakal menikmati akses untuk menonton Netflix menerusi kotak Ultra, sejurus selepas kerjasama tersebut dilancarkan dan menerusi Kotak Ulti dalam tempoh masa beberapa bulan akan datang. 

 

Ini merupakan antara ciri-ciri kefungsian terbaharu yang diperkenalkan bagi mengintegrasikan perkhidmatan penstriman global di platform Astro.

 

Menerusi kerjasama ini, pelanggan Astro dan Netflix di Malaysia kini boleh menguruskan akses pembayaran yuran langganan Astro dan Netflix mereka dengan lebih mudah dalam satu bil yang sama, dengan nilai tambah lebih baik.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan berkata, kerjasama yang termeterai dengan Netflix mengukuhkan lagi kedudukan Astro sebagai destinasi hiburan No.1 bagi rakyat Malaysia dengan menawarkan perkhidmatan penstriman terbaik. 

 

Di samping itu, katanya, ia juga menawarkan pelbagai kandungan hebat seperti naskhah ‘originals’, program ‘signatures’, tayangan acara sukan secara langsung dan filem blockbuster tempatan untuk dinikmati.

 

"Pengumuman ini diharap dapat meningkatkan lagi prestasi Astro di dalam kepimpinan pasaran serantau dalam memberikan pengalaman hiburan terbaik kepada rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Naib Presiden Pembangunan Perniagaan APAC Netflix, Tony Zameczkowski berkata, amat berbesar hati dengan pakatan strategik yang terjalin dengan Astro kerana kerjasama tersebut membolehkannya membawa kandungan hiburan bertaraf dunia di pelbagai peranti pintar pilihan untuk dinikmati oleh rakyat Malaysia.

 

"Rangkuman program menarik daripada koleksi filem Hollywood seperti Army of the Dead, La Casa de Papel dari Sepanyol, Lupin dari Perancis, dan K-drama seperti Vincenzo, kami percaya bahawa kisah-kisah terhebat seperti ini boleh datang dari mana sahaja dan turut diminati oleh audiens seluruh dunia," tambah beliau. - DagangNews.com