Skip to main content

Sah raya rumah masing-masing, larangan rentas negeri kekal hingga 17 Mei

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Mei - Larangan untuk merentas negeri akan dikekalkan sehingga 17 Mei 2021 bagi mengelakkan negara daripada terus mencatatkan kes jangkitan COVID-19 harian yang tinggi. 

 

Penguatkuasaan itu akan diteruskan sehingga tarikh baharu diumumkan kemudian, menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba. 

 

Ini bermakna, perjalanan rentas negeri bagi perayaan Aidilfitri tidak dibenarkan. 

 

Umat Islam dijangka menyambut perayaan tersebut pada 13 atau 14 Mei depan.

 

“Berkaitan kluster rentas negeri, kerajaan telah pun mengesan bahawa sejak April 2021, sebanyak 13 kluster rentas negeri telah dikesan,” katanya dalam sidang media berkaitan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) hari ini. 

 

Turut serta, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin.

 

Kesemua kluster berkenaan melibatkan negeri-negeri, antaranya Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kuala Lumpur. 

 

Tambah Adham, pendekatan yang diambil kerajaan kebelakangan ini adalah untuk melihat kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersasar. 

 

Antara faktor yang sedang dipertimbangkan adalah pelaksanaan beberapa pembaharuan dari segi kapasiti perhimpunan dan juga mesyuarat ekoran terdapat peningkatan kes yang mendadak dalam tempoh singkat sepanjang beberapa minggu lalu. 

 

Dalam pada itu, tambah beliau, Kementerian Kesihatan (KKM) juga sedang berbincang dengan Kementerian Pertahanan untuk mewujudkan hospital medan di Kelantan dan Sarawak dalam masa terdekat ini. 

 

Penubuhan itu bakal menyaksikan kes-kes bukan berkaitan COVID-19 boleh diletakkan di hospital medan untuk mengurangkan bebanan di hospital yang terjejas. 

 

Pada 24 April lalu, Malaysia berjaya mengesan kes pertama kemasukan varian COVID-19 dari India dengan mutasi berganda dikenali sebagai B.1.617.1.

 

Bagi varian lain, sehingga kini sebanyak 48 kes varian South African B.1.351 dikesan di dalam negara, UK B.1.1.7 (8) dan Nigerian B.1.525 (2).  - DagangNews.com