Saham Malaysia sambung debaran Belanjawan 2021 | DagangNews Skip to main content

Saham Malaysia sambung debaran Belanjawan 2021

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Selagi Belanjawan 2021 tidak diluluskan, selagi itu pasaran saham Malaysia akan terus dipengaruhi sentimen debaran dan penantian bajet itu. 

 

Ini berikutan para pelabur meletakkan harapan tinggi terhadap keputusan Belanjawan 2021 yang menjadi ‘sinar’ utama untuk memacu pemulihan negara terutamanya dari segi ekonomi selepas terjejas akibat penularan COVID-19. 

 

Selepas berselang-seli indeks penanda aras saham Malaysia dibuka tinggi dan rendah, hari ini, pasaran itu jatuh 2.67 mata setakat 9.04 pagi. 

 

KLCI mencecah 1,594.91, merosot 0.17% daripada paras yang ditutup semalam 1,597.58. 

 

Bagaimanapun, prestasi pasaran saham tempatan masih melepasi paras baik iaitu 1,500 daripada sebelum ini berlegar di dalam lingkungan 1,400 hingga 1,500. 

 

Hari ini, Parlimen dijangka membuat undian sama ada untuk meluluskan Belanjawan 2021 atau menolaknya. 

 

parlimen

 

Rakuten Trade Research berkata, KLCI dijangka mendatar hari ini dengan 1,600 menjadi paras rintangan (resistance) segera walaupun terdapat berita positif berkenaan Belanjawan 2021. 

 

“Sementara itu, harga minyak sawit mentah (MSM) kekal jauh melebihi paras RM3,000 setiap metrik tan dan jika paras ini kekal, November akan mencatatkan harga paling kukuh setakat tahun ini bagi MSM. 

 

“Berhubung sarung tangan getah, kami menjangkakan harganya tidak menentu dipengaruhi oleh perkembangan berita vaksin COVID-19 dan dalam masa sama kes pandemik itu kian meningkat,” kata Rakuten Trade. 

 

Ketika ini, terdapat tiga faktor yang mempengaruhi pergerakan pasaran Malaysia iaitu penemuan vaksin COVID-19, peningkatan kes pandemik itu dan juga Belanjawan 2021. 

 

Tetapi, memandangkan keputusan Belanjawan 2021 bakal ditentukan hari ini, maka sentimen itu mengatasi faktor-faktor luaran lain. 

 

Sebelum ini, Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menitahkan supaya Ahli-Ahli Parlimen untuk menyokong Belanjawan 2021 dan menghentikan permainan politik. 

 

agong

 

Bagaimanapun, ketika belanjawan itu dibahaskan di Dewan Rakyat, pelbagai pihak termasuk Barisan Nasional (BN) yang merupakan sebahagian daripada blok Perikatan Nasional (PN) meletakkan syarat jika mahu Belanjawan 2021 diluluskan. 

 

Ini memberi tekanan kepada kerajaan yang sekali gus mungkin mengundang kepada situasi berbeza dan dalam masa sama mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelabur. 

 

Selepas penurunan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak empat kali kepada 1.75% pada tahun ini bagi menyokong ekonomi negara, Belanjawan 2021 pula bertindak sebagai penyuntik fiskal bagi membawa Malaysia ke landasan pemulihan. - DagangNews.com