Saham panas hari ini - Media Prima, Serba Dinamik, UEM Sunrise, GUH, MAG, SCIB, Jetson, OCR, NWP | DagangNews Skip to main content

Saham panas hari ini - Media Prima, Serba Dinamik, UEM Sunrise, GUH, MAG, SCIB, Jetson, OCR, NWP

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
editor@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 5 Julai - Antara saham yang harus diberi tumpuan hari ini, termasuklah Media Prima Bhd, Serba Dinamik Holdings Bhd., UEM Sunrise Bhd, GUH Holdings Bhd dan MAG Holdings Bhd. 

 

Ketika dagangan dibuka pagi ini, indeks FBM KLCI menokok 1.20 mata kepada 1,534.55 mata.

 

Dalam pengumuman minggu lalu, Media Prima dilaporkan akan membeli semula balai berita di Bangsar bernilai RM156.4 juta, yang merupakan satu daripada dua aset hartanah yang dijual kepada Permodalan Nasional Bhd (PNB) pada 2018.

 

Selain itu, Serba Dinamik pula secara rasmi melantik firma Ernst & Young Consulting Sdn. Bhd. sebagai penyemak bebas khas untuk membantu lembaga pengarah menjalankan semakan terhadap isu yang dibangkitkan KPMG sebelum ini. 

 

UEM Sunrise juga berada dalam radar pelabur hari ini, selepas kumpulan itu menjual tiga lot tanah pertanian pegangan bebas di Mersing, Johor kepada Lagenda Properties dengan nilai RM45.1 juta. 

 

GUH Holdings dan pemegangan sahamnya, Straits International Education Group Sdn. Bhd. melupuskan pegangannya dalam kumpulan pendidikan, Tenby Educare Sdn. Bhd. pada nilai RM52.5 juta. 

 

MAG Holdings pula menyaksikan pemegang sahamnya meluluskan pengambilalihan 100% kepentingan dalam North Cube Sdn Bhd pada nilai RM200 juta dalam mesyuarat agung luar biasanya pada Jumaat.

 

Bagi pembukaan dagangan pagi ini, saham Serba Dinamik mencecah 40 sen sesaham setelah menokok 3.90% diikuti Pasukhas Group Bhd, naik 10.53% kepada 31.5 sen.

 

Kaunter lain termasuklah, NWP Holdings Bhd. dibuka 4.65% lebih tinggi kepada 22.5 sen manakala Censof Holdings Bhd. pula menokok 1.96% kepada 52 sen dan Kumpulan Jetson Bhd. naik 8.22% kepada 39.5 sen. 

 

Turut berada dalam saham aktif, Sarawak Consolidated Industries Bhd, dibuka 1.85% lebih tinggi kepada 82.5 sen dan OCR Group Bhd. menokok 2.56% kepada 20 sen. - DagangNews.com