KUALA LUMPUR 1 Sept - Saham-saham Sime Darby Bhd di Bursa Malaysia meningkat pada awal dagangan Rabu susulan pengumuman syarikat itu menjalin kerjasama dengan Porsche AG bagi mengendalikan kilang pemasangan pertama pengeluar kereta sport Jerman itu di luar Eropah.
Pada 9.49 pagi ini, kaunter saham Sime Darby naik 1.0 sen kepada RM2.37 dengan 2.79 juta sahamnya saling berpindah tangan.
Dalam kenyataan pada Isnin, Sime Darby berkata kerjasama itu akan membolehkan syarikat itu memasang kereta sport berkenaan bagi pasaran Malaysia dengan pengeluarannya dijadual bermula pada 2022.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata usaha pemasangan oleh syarikat itu akan tetap melalui standard dan proses terperinci sebagaimana dipraktikkan oleh pihak di Eropah.
Beliau berkata, setiap kereta Porsche yang dipasang oleh Sime Darby akan melalui standard dan proses yang sama ketat dengan rakan sejawatnya di Eropah.
"Kami akan meneruskan libat urus yang rapat dengan Porsche AG bagi memastikan kami memenuhi standard Porsche bagi setiap langkah yang diambil," katanya.
Sementara itu, Ahli Lembaga Eksekutif Porsche bagi Jualan dan Pemasaran, Detlev von Platen berkata, Malaysia dan seluruh ASEAN adalah rantau yang berpotensi besar dan syarikat kereta itu menantikan model pemasangan tempatan pertama yang akan menemui pelanggannya di Malaysia tahun depan.
"Ketika Porsche bergerak ke era mobilisasi baharu, Malaysia dan rantau ASEAN menjadi bertambah penting. Langkah ini sekarang adalah sebahagian daripada inisiatif jangka panjang untuk bergerak seiring dengan permintaan pelanggan dan pasaran yang berkembang dengan pesat,” tambahnya. - DagangNews.com