Sains di Asia Pasifik: Tahap kepercayaan masih lagi tinggi, namun maklumat yang salah mengancam masa depan | DagangNews Skip to main content

Sains di Asia Pasifik: Tahap kepercayaan masih lagi tinggi, namun maklumat yang salah mengancam masa depan

Kajian global oleh 3M mendapati bahawa orang ramai mahu mendengar lebih banyak lagi maklumat daripada para saintis, menyelesaikan perubahan iklim, dan meningkatkan kesaksamaan akses penjagaan kesihatan dan STEM   

PENDUDUK Asia Pasifik terus mempercayai sains, tetapi keadaan ini boleh dijejaskan oleh penyebaran maklumat yang salah.

 

Namun begitu, orang ramai masih melihat bahawa wujud peluang untuk para saintis menyelesaikan isu sosial, termasuk perubahan iklim, dan kesaksamaan dalam penjagaan kesihatan, STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) – ini adalah beberapa dapatan utama Indeks Situasi Sains 2022 3M, yang merupakan satu tinjauan mengenai persepsi sains global.

 

Tinjauan oleh syarikat sains global 3M itu telah dijalankan di 17 negara di seluruh dunia, melibatkan kira-kira 1,000 responden dari setiap negara.

 

“Masyarakat terus menghargai dan mempercayai sains walaupun ketika kita sedang memasuki fasa pemulihan pasca pandemik, namun kita perlu terus membuka jalan bagi mewujudkan komunikasi sains yang boleh dipercayai, untuk menjawab segala persoalan berkaitan sains dan isu-isu yang paling penting,” kata Naib Presiden Kanan Hal Ehwal Korporat 3M Asia dan Pengarah Urusan 3M Korea, Jim Falteisek.

 

“Kami gembira kerana dapat melancarkan hasil tinjauan Indeks Situasi Sains 2022 yang dijalankan oleh kami, dengan mengambil kira pandangan dan perasaan orang ramai tentang sains, impaknya terhadap dunia di sekeliling kita, dan bagaimana kita boleh merapatkan lagi jurang yang kritikal ini.”

 

Sedang kita mula keluar daripada belenggu pandemik, kepercayaan terhadap sains (91%) dan para saintis (87%) kekal berada pada tahap tertinggi di kalangan negara-negara Asia Pasifik, dengan lebih daripada separuh bersetuju bahawa sains adalah sangat penting di dalam kehidupan seharian mereka (57% berbanding purata global 52%*).

 

Walau bagaimanapun, kebanyakan orang di rantau Asia Pasifik percaya bahawa wujud penyebaran maklumat salah secara meluas melalui saluran berita tradisional (iaitu saluran berita dalam talian, cetak atau penyiaran/ TV) (71%) dan/atau media sosial (85%), yang mengancam kredibiliti fakta saintifik.

 

Malah, para responden di Asia Pasifik masih lagi cenderung untuk meragui sains berbanding masyarakat global yang lain (36% berbanding 29% di seluruh dunia*).

 

Namun, penduduk Asia Pasifik tetap mengiktiraf bahawa sains sangat diperlukan dalam masyarakat, dan majoriti besar (81%) percaya bahawa wujud akibat buruk jika orang ramai tidak menghargai sains.

 

Krisis kesihatan awam (60%); perpecahan yang lebih meluas di kalangan masyarakat (55% berbanding 57% global); dan peningkatan kesan buruk perubahan iklim (54% berbanding 53% global) telah dikenal pasti sebagai akibat utama jika orang ramai tidak mempercayai berita mengenai sains.

 

82% penduduk Asia Pasifik juga mahu mendengar lebih banyak lagi maklumat daripada para saintis mengenai kerja-kerja yang dilakukan oleh mereka, menunjukkan peluang yang jelas untuk komunikasi mengenai sains membuka jalan ke arah perubahan yang positif.


 

3M


 

Bimbang tentang perubahan iklim, tetapi kurang cenderung bertindak

Menurut tinjauan tersebut, sebahagian besar daripada responden Asia Pasifik yang menyatakan mereka bimbang bahawa diri mereka atau orang yang mereka sayangi akan kehilangan tempat tinggal suatu hari nanti disebabkan oleh cuaca ekstrem yang berkaitan dengan perubahan iklim (84% berbanding 79% global).

 

Walaupun mereka mengambil berat tentang isu iklim ini, penduduk Asia Pasifik didapati kurang cenderung untuk mengambil tindakan mereka sendiri.

 

Berbanding dengan populasi global, mereka kurang cenderung untuk mengambil tindakan bagi menjadi lebih lestari dalam tempoh enam bulan yang lalu, walaupun untuk isu-isu yang sering mendapat perhatian seperti:
 

(1) pengurangan penggunaan plastik (51% berbanding 53% global);

(2) bahan kitar semula (47% berbanding 54% global); dan

(3) penjimatan penggunaan air (41% berbanding 48% global).

 

Apabila melihat kepada peranan syarikat pula, tindakan utama yang para responden di sini mahu mereka lakukan ialah membina masa depan yang lebih lestari seperti:

(1) pengurangan jumlah plastik yang digunakan dalam produk (58%, sama dengan responden global);

(2) penggunaan bahan kitar semula dan boleh diperbaharui dalam produk yang dibangunkan (53% berbanding 54% global); dan

(3) pengurangan sisa buangan yang dikeluarkan oleh kilang (52%, sama dengan responden global).

 

3M telah sejak sekian lama menyahut seruan ini menerusi Rangka Kerja Kelestarian Strategik, yang dijadikan sebagai panduan untuk sains 3M memajukan ekonomi kitaran, meningkatkan jejak alam sekitar syarikat, dan mewujudkan sebuah dunia yang lebih positif menerusi sains.

 

Sebagai contoh, 3M sedang berusaha ke arah mengurangkan kebergantungannya terhadap penggunaan plastik berasaskan fosil baharu sebanyak 125 juta paun menjelang 2025, dan syarikat itu juga semakin hampir mencapai sasaran 50% penggunaan tenaga elektrik boleh diperbaharui di semua tapak premisnya di seluruh dunia, jauh lebih awal daripada sasaran 2025.

 

 

3M

 

 

Peluang untuk sains memberikan impak sosial

Tinjauan Indeks Situasi Sains 3M mendapati bahawa isu paling utama di Asia Pasifik ialah menangani ketidaksamaan akses penjagaan kesihatan dan punca sebenar masalah kesihatan.

 

Apabila melihat kepada kemajuan dari segi keadilan dan perubahan sosial, memastikan akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti tanpa mengira umur, jantina, bangsa/ kaum, status sosioekonomi, lokasi, dan faktor-faktor lain menjadi keutamaan masyarakat di Asia Pasifik, dengan 78% menganggapnya sebagai satu keutamaan untuk masyarakat dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

Ini diikuti rapat oleh menangani punca sebenar masalah kesihatan bukan tradisional di kalangan masyarakat terpinggir dan kurang mendapat perhatian, yang memperoleh 73% undi.

 

Penduduk di rantau Asia Pasifik juga mengharapkan agar syarikat mengutamakan kerjasama dengan industri penjagaan kesihatan dan entiti lain apabila melihat kepada isu (1) meningkatkan kualiti penjagaan (51%); dan (2) menangani punca sebenar masalah kesihatan di kalangan masyarakat terpinggir dan kurang mendapat perhatian (47%).

 

Mengenal pasti halangan kepada kesaksamaan STEM

Kepelbagaian dan keterangkuman dalam STEM adalah satu lagi bidang utama yang perlu diperbaiki. 85% responden di Asia Pasifik bersetuju bahawa wujud halangan untuk para pelajar meneruskan pengajian STEM.

 

Halangan-halangan utama itu termasuklah: (1) tiada akses (NET) (78% berbanding 74% global); (2) ketidakmampuan untuk mendapatkan pendidikan STEM yang kukuh (48% berbanding purata global 47%); (3) para pelajar memikul terlalu banyak tanggungjawab peribadi untuk fokus dalam pendidikan STEM (iaitu perlu mencari pendapatan, membuat kerja-kerja di rumah, menjaga ahli keluarga) (43% berbanding 37% global).

 

Sebahagian besar turut percaya bahawa golongan minoriti yang kurang mendapat perhatian selalunya tidak mendapat akses yang sama kepada pendidikan STEM (74% vs 71% global).

 

Golongan wanita terutamanya, menghadapi pelbagai cabaran di sepanjang perjalanan pendidikan STEM mereka.


 

3M

 


Di seluruh rantau Asia Pasifik, 83% bersetuju bahawa banyak lagi perkara yang perlu dilakukan bagi menggalakkan dan mengekalkan penyertaan wanita dalam pendidikan STEM.

 

65% juga percaya bahawa wanita meninggalkan jawatan dalam pekerjaan STEM kerana mereka tidak menerima sokongan yang secukupnya, dan 62% mengatakan bahawa wanita lebih tidak bersemangat untuk menyertai bidang kejuruteraan berbanding bidang sains yang lain.

 

Warga Asia Pasifik dengan itu menyeru komuniti sains dan syarikat untuk meningkatkan kesaksamaan STEM dan perwakilan dalam tenaga kerja mereka.

 

90% bersetuju bahawa komuniti sains perlu bekerja keras untuk menarik tenaga kerja yang pelbagai (berbanding 88% global) dan 87% percaya bahawa komuniti sains dapat memberikan impak positif yang lebih besar ke atas masyarakat jika wujud kepelbagaian dan perwakilan yang lebih besar dalam tenaga kerja mereka (berbanding 84% global).

 

“Saya adalah salah seorang daripada sebahagian kecil mereka yang bertuah yang mendapat sokongan sejak muda. Ia telah membantu membakar semangat saya terhadap bidang sains dan membentuk peribadi saya hari ini," kata Ketua Penyelidikan dan Pembangunan Operasi 3M Asia Tenggara, Chan Yen Sze. .  

 

"Inilah juga sebabnya kenapa saya sangat percaya dalam usaha pelaburan untuk masyarakat yang kurang berkemampuan. 

 

"Matlamat berteraskan pendidikan global 3M untuk mewujudkan lima juta pengalaman pembelajaran STEM dan perdagangan berkemahiran yang unik untuk individu yang kurang mendapat perhatian menjelang akhir 2025 bakal mencipta perubahan untuk ramai saintis di masa depan dan membantu meningkatkan kesaksamaan ekonomi,” ujar beliau.

 

Teknologi masa depan membawa harapan dan ketidaktentuan

Memandang ke hadapan, penduduk di rantau ini sebenarnya sangat teruja dengan teknologi masa depan.

 

75% berpendapat bahawa kecerdasan buatan (AI) adalah teknologi yang sangat menarik yang memberi kesan ke atas kehidupan seharian mereka (berbanding 65% global).

 

 

3M

 

 

Kira-kira satu pertiga responden Asia Pasifik (31% berbanding 28% global) percaya bahawa kereta pandu sendiri akan menjadi suatu perkara yang dianggap biasa dalam tempoh lima tahun akan datang, dan 79% (berbanding 71% global) sedia untuk menaiki kereta autonomous  atau pandu sendiri, yang tidak dipandu oleh manusia.

 

Namun, 53% responden Asia Pasifik masih bimbang kemajuan AI dalam tempoh lima tahun akan datang bakal menyebabkan mereka kehilangan pekerjaan (berbanding 47% global).

 

Ramai (73%) yang bimbang mereka masih boleh mengekalkan pekerjaan mereka di dalam pasaran kerja yang semakin bergantung kepada kemahiran digital (berbanding 64% global).

 

Majikan adalah kunci untuk meredakan kebimbangan ini, kerana kira-kira sembilan daripada sepuluh responden percaya bahawa majikan patut menyediakan sokongan kewangan atau bayaran balik untuk peningkatan kemahiran.

 

Bagi menggalakkan pembelajaran berterusan, 3M telah mengembangkan portal pembelajaran mayanya yang direka khusus dan juga mendapatkan maklum balas daripada kakitangan mengenai cara untuk menambah baik usaha ini.

 

Kakitangan 3M kini boleh mengakses dengan mudah ribuan sumber-sumber yang terdiri daripada e-modul, buku abstrak dan video latihan bagi membantu mereka meningkatkan kemahiran.

 

“Setiap hari kami bekerja keras di 3M untuk membuka potensi para pekerja, idea, dan sains, dan memacu perubahan bermakna ke arah membentuk sebuah dunia yang lebih lestari dan saksama untuk generasi akan datang,” jelas Jim Falteisek.

 

“Dapatan ini telah menggariskan beberapa isu utama yang dihadapi oleh orang ramai, masyarakat dan syarikat yang perlu ditangani, dan menunjukkan bahawa kami telah mengambil tindakan yang tepat di atas landasan yang betul,” ujarnya. - DagangNews.com