SAJ masih menanti kenaikan tarif, jejaskan harga saham, prestasi kewangan Ranhill | DagangNews Skip to main content

SAJ masih menanti kenaikan tarif, jejaskan harga saham, prestasi kewangan Ranhill

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 20 Okt. - Segmen pengurusan air menerusi Ranhill SAJ Sdn. Bhd. yang lemah bukan sahaja mempengaruhi prestasi kewangan Ranhill Utilities Bhd. tetapi turut menjejaskan harga sahamnya. 

 

Ini berdasarkan analisis yang dijalankan MIDF Research setelah menyertai pertemuan dengan pelabur Ranhill baru-baru ini untuk meninjau perkembangan kumpulan. 

 

Menurut penganalisisnya, Hafriz Hezry, harga saham Ranhill telah menjunam sebanyak 25% setakat ini disebabkan prestasinya yang lemah sejak 3 suku kewangan lalu terutamanya dipengaruhi Ranhill SAJ. 

 

Katanya, sahamnya kini diniagakan hanya 5.9x nilai perusahaan (EV)/pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) bagi tahun kewangan 2022 (FY22), dengan 22% diskaun kepada purata sektor utiliti air FY22 EV/EBITDA sebanyak 7.6x. 

 

"Setelah menjalankan semakan silang, Ranhill didagangkan dengan diskaun yang lebih mendalam pada 33%/37% kepada sektor tenaga/pembinaan bagi FY22 EV/EBITDA sebanyak 8.8x/9.4x.

 

"Semakin menambah risiko, kemungkinan kenaikan tarif Ranhill SAJ ini akan terus ditangguhkan. 

 

"Oleh itu, kami menyemak semula harga sasaran lebih rendah kepada 82 sen berbanding RM1 sebelum ini sejajar dengan semakan semula unjuran pendapatan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Ranhill SAJ adalah anak syarikat Ranhill, syarikat bekalan air bersepadu, yang terlibat dalam proses rawatan air dan pengagihan air terawat kepada pengguna.

 

Sebagai syarikat bekalan air bersepadu, Ranhill SAJ mengurus dan mengendalikan bekalan air bersih di Johor. 

 

Sehingga kini, Hafriz berkata, Ranhill SAJ masih menunggu kenaikan tarif berjadual yang sepatutnya dilaksanakan pada Januari 2021 tetapi tertangguh disebabkan penularan pandemik COVID-19 dan ketidaktentuan lain seperti perubahan pentadbiran kerajaan. 

 

Katanya, walaupun Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) difahamkan telah meluluskan kenaikan tarif yang dicadangkan Ranhill SAJ, tetapi ia masih menunggu persetujuan Kabinet pada masa ini.

 

"Tanpa kenaikan tarif ini seperti diluluskan di bawah pelan perniagaan tempoh operasi (OP) 4 (2018-2020) dan OP5 (2021-2023), di sebalik pelaksanaan peruntukan perbelanjaan (capex) yang dirancang di bawah tempoh kawal selia, serta inflasi tahunan dalam kos operasi dan aset pajakan, ia menjejaskan margin bahagian persekitaran Ranhill dalam beberapa suku terakhir," jelasnya. 
 

 

Bagi mengatasi masalah ini, Ranhill SAJ difahamkan mengambil pendekatan untuk berunding dengan Kewangan Kewangan (pemegang saham Pengurusan Aset Air Bhd.-PAAB), PAAB (pemilik aset air negara) dan SPAN untuk menyemak semula kadar pajakan tahunan kepada PAAB sebagai langkah sementara untuk mengimbangi kesan penangguhan kenaikan tarif.

 

"Ketika pembentangan tersebut (mesyuarat dengan pelabur yang dihadiri MIDF), Ranhill menyasarkan kenaikan tarif ini akan direalisasikan pada tahun kewangan 2022," tambah beliau. 

 

Dengan melihat prestai pendapatan yang lemah menerusi Ranhill SAJ dalam tempoh terdekat, firma itu mengurangkan unjuran bagi tahun kewangan 2021 dan 2022 masing-masing sebanyak 38% dan 19%.

 

"Tetapi, kami menjangkakan pendapatan Ranhill SAJ akan kembali meningkat disokong antaranya, pertumbuhan tahunan sebanyak 2 hingga 3% bagi penggunaan air dan kemajuan yang dicapai untuk mengurangkan segmen pendapatan bukan air, sekali gus mengurangkan kos rawatan air dan boleh meningkatkan margin," katanya. 

 

MIDF Research bagaimanapun secara keseluruhan mengekalkan saranan 'beli' ke atas Ranhill setelah mengambil kira kedudukannya yang kukuh untuk meraih manfaat di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) terutama bagi sektor utiliti, infrastruktur air domestik dan tenaga. 

 

Pada masa sama, menurut Hafriz, kumpulan juga mahu meneroka pemilikan aset tenaga diperbaharui (RE) setelah memenangi projek Solar Berskala Besar keempat (LSS4) dan juga bidaan dalam projek sisa kepada tenaga (WTE) di Johor serta LSS5 akan datang.

 

"Namun, penilaian kami belum mengambil kira projek solar LSS4 50MW yang akan siap pada 2023 dan projek WTE Djuanda di Indonesia yang menanti perkembangan selanjutnya

 

"Dengan menambah LSS4 ini dan WTE (tidak termasuk Djuanda), akan meningkatkan penilaian kami sebanyak 11%," jelas beliau.

 

Setakat 12.22 tengah hari ini, saham Ranhill menokok 0.05 sen atau 0.75% kepada 67 sen dengan 64,400 saham diniagakan. - DagangNews.com